GLOBALSUKANKINI

WC2018: England pesta gol benam Panama

OLEH HAFIZAN TAIB

NIZHNY NOVGOROD, 25 JUN: Hatrik Harry Kane membantu England membelasah Panama 6-1 dalam perlawanan kedua Kumpulan G dan memastikan pasukan itu ke peringkat 16 terakhir Piala Dunia 2018.

England memulakan pesta gol seawal minit kelapan melalui pertahanan Manchester City, John Stones dengan tandukan menewaskan penjaga gol Panama, Jaime Penedo dan Kane (m22) mengambil giliran sepakan penalti untuk gol kedua selepas Jesse Lingard dikasari.

Pasukan kendalian Gareth Southgate terus mengukuhkan kedudukan dengan Lingard menjaringkan gol ketiga, pada minit ke-36.

Stone menjaringkan gol kedua, pada minit ke-40 diikuti Kane dengan penalti, pada masa tambahan babak pertama untuk England mendahului Panama 5-0.

Bersambung separuh masa kedua, England terus menggandakan asakan menambah jaringan dan Kane memperoleh hatrik, pada minit ke-62 seterusnya menjadikan dirinya penjaring terbanyak Piala Dunia setakat ini dengan lima gol.

pialaPanama mendapat gol sagu hati melalui Felipe Baloy (m78) hasil tendangan bebas yang juga gol pertama negara itu dalam Piala Dunia.

“Sayaa gembira dengan kemenangan ini dan ia pencapaian berbeza jika dibandingkan dengan kejayaan mengatasi Tunisia,” kata Southgate dipetik AFP.

Selepas dua perlawanan, England dan Belgium kini berkongsi kedudukan dengan enam mata dan kedua pasukan akan bertemu bagi penentuan juara kumpulan.

Manakala Panama dan Tunisia tersingkir dari saingan akan bertemu dalam perlawanan ketiga.


Pengarang :