PELANCONGANSELANGOR

EXCO komited angkat karya seni dan khazanah warisan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SEPANG, 24 JULAI: Kerajaan Negeri komited memartabatkan karya seni dan khazanah warisan sejarahnya, supaya dipelihara dengan lebih komprehensif.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu serta Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari berkata, langkah itu bagi memastikan kerencaman nilai warisan terkandung di Selangor kekal, seiring dan berkembang.

“Di Selangor, kita giat membangunkan muzium tekstil bagi mempamer koleksi kain tenunan, manakala muzium setem mengumpul pelbagai jenis setem bernilai.

“Selain itu, kita turut memiliki banyak artifak Sultan Selangor yang perlu diangkat sebagai seni warisan agung negeri ini.

“Semua tinggalan khazanah ini perlu dipamer kepada umum, bukan sahaja warga tempatan bahkan pelancong asing,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Gala BBQ Dinner bersama Penggiat Media dan Blogger, di Avani Sepang Goldcoast, di sini, Ahad lalu.

Turut hadir Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din dan Pegawai Komunikasi Korporat Majlis Daerah Kuala Langat, Mohd Kamal Mohd Ramlan.

Pada masa sama, Abdul Rashid berkata, pihaknya juga akan memastikan muzium sedia ada diselenggara dan dibaik pulih dari semasa ke semasa.

“Kita sudah melawat ke beberapa negara untuk mendapatkan idea baharu bagi mencantikkan muzium di negeri ini supaya nampak canggih dan menarik perhatian pengunjung,” katanya.


Pengarang :