SELANGOR

MB: KEADILAN kukuh, Lokman sekadar boleh bermimpi

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 21 JUN: Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam ‘boleh bermimpi’ jika berharap unsur sabotaj dalam KEADILAN akan membantu beliau memenangi Pilihan Raya Kecil (PKR) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.49 Sungai Kandis.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, walaupun wujud pandangan berbeza dalam KEADILAN, namun pimpinan tertinggi tetap bersama hadir pada hari ini bagi memberikan sokongan kepada calon di Dewan Besar Tanjung, Seksyen 19, Shah Alam.

“Saya rasa dia (Lokman) boleh bermimpi untuk itu. Setakat ini kita kukuh.

“Memang ada pandangan seperti itu tapi hari ini Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali ada, saya ada, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail ada, pimpinan PAKATAN ada dan saya percaya kita masih berada dalam landasandan kedudukan yang padu untuk berhadapan pilihan raya.

“Untuk menang kita akan gunakan apa-apa yang ada pada kita, terutama kelebihan kita.

“Beliau (Mohd Zawawi) seorang yang aktif dalam komuniti, bapanya juga seorang pemimpin kawasan.

“Beliau buka pusat perlindungan isu akidah, anak-anak terlanjur sejak sekian lama. Jadi sudah pasti kredibiliti itu yang PAKATAN tonjolkan sebagai calon,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Lokman yang mendakwa ada elemen dalam KEADILAN akan ‘membantu kemenangannya’ susulan rasa tidak puas hati mengenai pemilihan calon bertanding.

Mengulas mengenai potensi KEADILAN untuk memperoleh undi daripada penyokong PAS, Amirudin optimis pihaknya mampu meraih sokongan semua pengundi seperti yang berlaku pada PRU-14 lalu.

“Saya rasa dalam PRU-14 kita tetap kena dapat undi parti lawan. Jadi saya rasa tak kira dari BN atau PAS, tugas kita (PAKATAN) adalah untuk meyakinkan mereka mengundi. Inilah tujuan pilihan raya,” katanya.


Pengarang :