Keadaan MH17 yang jatuh ditembak di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.
GLOBAL

Tragedi MH17: Belgium mahu cari keadilan dalam Majlis Keselamatan PBB

KUALA LUMPUR 28 JUL: Sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mulai tahun depan, Belgium berikrar untuk memburu secara aktif pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 pada 17 Julai 2014 dan menegakkan keadilan kepada mangsa serta keluarga mereka.

Duta Besar Belgium ke Malaysia, Daniel Dargent, berkata pemilihan negara itu bagi penggal 2019-2020 bersama-sama Indonesia, Jerman, Afrika Selatan dan Republik Dominica, akan melebarkan peluang Belgium untuk memastikan semua negara terlibat memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap usaha negara benua Eropah itu dalam mencari kebenaran, keadilan serta akauntabiliti buat mangsa dan waris mereka.

“Apabila kami berada dalam sistem majlis, kami akan membawa kes MH17 ke dalam agenda Majlis Keselamatan PBB.

“Kami akan mencadangkan satu penyelesaian bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab, tidak hanya mereka yang berada di lapangan, tetapi juga yang memberikan arahan untuk melancarkan peluru berpandu terbabit,” katanya dalam satu temu bual eksklusif di kedutaan itu baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Dargent berkata Resolusi 2166 UNSC secara khusus mengesahkan kesepakatan untuk mencari keadilan dan akauntabiliti dengan memastikan pelaku jenayah itu dipertanggungjawabkan, harus dihormati oleh semua pihak tanpa pengecualian.

“Kami menyokong resolusi itu seperti yang diminta, oleh itu kami berharap semua negara akan terus bekerjasama dalam siasatan yang sedang berlangsung,” katanya sambil menambah siasatan jenayah itu kekal menjadi keutamaan kerajaan Belgium.

Beliau berkata Belgium, sebagai anggota pasukan penyiasat bersama 5 negara yang diterajui Belanda (JIT) dalam kes MH17, sudah pasti akan memberi sokongan kuat kepada Belanda bagi membolehkan pihak yang menembak jatuh pesawat itu dipertanggungjawabkan atas perlakuan jenayah tersebut.

“Kami menyokong Belanda, khususnya kerana kami begitu rapat dan kami tahu kami (berdua) adalah mangsa (dalam penerbangan malang itu) dan justeru, adalah penting bagi kami untuk memburu mereka yang bertanggungjawab atas bencana tersebut,” kata Dargent.

Dalam sidang akhbar JIT pada 24 Mei lepas, hasil siasatan menunjukkan bahawa pasukan itu yakin sebutir peluru berpandu jenis BUK TELAR telah digunakan untuk menembak jatuh pesawat MH17 dan ia telah dilancarkan oleh briged peluru berpandu anti-pesawat ke-53 (Briged 53), satu unit tentera Rusia yang berpangkalan di Kursk dalam Persekutuan Rusia.

Kementerian Pertahanan Rusia bagaimanapun menyangkal dakwaan itu.

Sejumlah 298 penumpang dan kru terkorban dalam tragedi itu, terdiri daripada 193 rakyat Belanda; Malaysia (43); Australia (27); Indonesia (12); Britain (10); 4 masing-masing dari Jerman dan Belgium; Filipina (3); dan seorang masing-masing dari Kanada dan New Zealand.

Dargent berkata, “kami tidak sabar untuk menantikan detik itu (berada dalam UNSC) kerana kami juga mempunyai beberapa mangsa dalam bencana ini dan kami juga sebahagian daripada pasukan penyiasat.

“Jadi apa sahaja yang terdaya kami lakukan, sudah pasti kami akan melakukannya.”

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :