GLOBAL

Bangladesh sekat akses internet susulan rusuhan pelajar

DHAKA 5 OGOS : Pihak berkuasa Bangladesh bertindak menyekat akses data internet telefon bimbit seluruh negara bagi menangani insiden rusuhan di kalangan pelajar yang bertukar menjadi ganas.

Sejak minggu lalu, ribuan pelajar telah mengadakan tunjuk perasaan di ibu negara berhubung kelemahan aspek keselamatan jalan raya selepas dua remaja maut akibat dirempuh sebuah bas yang dipandu laju.

Tunjuk perasaan itu bagaimanapun bertukar ganas semalam di kawasan kejiranan Jigatala, mengakibatkan lebih 100 orang tercedera.

Menurut saksi, pihak polis melepaskan tembakan peluru getah dan gas pemedih mata ke arah peserta malah beberapa aktivis pro kerajaan turut dilihat menyerang pelajar berkenaan hingga menyebabkan sebilangan mereka terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.

Akhbar Pro Alo yang memiliki edaran tertinggi di Bangladesh melaporkan, perkhidmatan internet 3G dan 4G ditutup selama 24 jam bermula lewat malam tadi, sejurus selepas keganasan itu meletus.

Laman media sosial turut dipenuhi komen daripada rakyat yang gagal melayari internet menggunakan telefon bimbit mereka walaupun isyarat rangkaian dilihat tidak bermasalah.

Pengerusi Suruhanjaya Perundangan Telekomunikasi Bangladesk (BTRC), Jahirul Haq berkata mereka menerima arahan daripada kerajaan untuk berbuat demikian.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai arahan itu dan hanya akan membuat ulasan mengenainya lewat hari ini.

SUMBER: AFP

 


Pengarang :