EKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia melantun

KUALA LUMPUR, 9 OGOS: Bursa Malaysia dibuka lebih rendah hari ini tetapi melantun beberapa minit selepas itu.

Pada jam 9.08 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 1.12 mata, pada 1,805.85 berbanding 1,804.73 penutup Rabu.

Indeks itu dibuka 1.19 mata lebih rendah, pada 1,803.54.

Kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 147 berbanding 115 dengan 211 tidak berubah, manakala 1,409 tidak didagangkan dan 32 yang lain digantung.

Sejumlah 136.0 juta saham bertukar tangan bernilai RM85.14 juta.

Maybank Investment Bank Bhd berkata, kelemahan semalaman pasaran Amerika Syarikat (AS), penyusutan harga minyak mentah, selain kebimbangan perang perdagangan, mempengaruhi sentimen hari ini.

“Secara teknikal, kami jangka FBM KLCI didagangkan antara 1,770 mata dan 1,810 mata hari ini, dengan sokongan bawahan antara 1,748 mata dan 1,710 mata,” katanya.

Dalam kalangan kaunter utama, Maybank naik dua sen kepada RM9.92, Public Bank dan Tenaga menokok 10 sen setiap satu masing-masing kepada RM24.42 dan RM15.68.

Petronas Chemicals menambah 12 sen kepada RM9.16, manakala CIMB susut tiga sen pada RM5.89.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :