EKONOMI

Dr M harap usaha sama Proton-Geely dapat mengeluarkan kereta Proton

HANGZHOU, 19 OGOS: Tun Dr Mahathir Mohamad menyuarakan harapannya supaya usaha sama strategik antara Proton dan pengeluar kereta Geely China, akan dapat meningkatkan proses menghasilkan kereta Proton yang lebih baik.

Perdana Menteri Malaysia itu mengambil maklum mengenai kemajuan besar yang telah dibuat oleh Zhejiang Geely Holding Group dari segi mengeluarkan kereta berkualiti walaupun memasuki perniagaan kereta lebih lewat berbanding Proton.

“Semasa Proton diperkenalkan, Geely belum wujud. Kita menghantar enam kereta Proton ke sini (China)… dan kita sangat bangga atas pencapaian itu.

“Namun, seperti yang anda tahu, Geely sudah menandingi kita dari segi kualiti dan produktiviti industri kita. Dan saya percaya Proton boleh meraih manfaat daripada kerjasama dengan Geely,” katanya selepas menyaskikan perjanjian antara Proton dan Geely, di ibu pejabat Geely di sini hari ini.

Dr Mahathir kini dalam lawatan rasmi lima hari ke China, yang turut membawanya ke Beijing.

Dr Mahathir juga berharap ilmu kejuruteraan yang bakal diperoleh menerusi usaha sama itu dapat membantu meningkatkan produk Malaysia seperti kereta.

Perdana Menteri berkata industri automotif sentiasa menambah baik dari segi teknologi dan kualiti, dan dalam hubungan ini Proton sudah mengikutinya, dengan meningkatkan reka bentuk dan kualiti keretanya.

“Kereta sedia ada sebenarnya boleh dipasarkan di banyak tempat,” katanya dan menambah kereta Proton tidak dapat dipasarkan di banyak negara Barat kerana tidak memenuhi standard pelepasan Euro 5.

“Namun kita percaya jika kita dapat memperoleh enjin baharu dan meningkatkan kualiti, kita akan dapat memasarkannya dan bersaing dengan jenama lain. Bekerjasama dengan Geely akan menambah baik kereta Proton,” kata Dr Mahathir.

Menjawab soalan, beliau berkata berdasarkan apa yang beliau saksikan, Geely, yang menguasai 49.9 peratus kepentingan dalam Proton, berkeupayaan untuk mengeluarkan kereta elektrik bersama Proton untuk pasaran ASEAN dan melepasinya.

Perjanjian yang ditandatangani oleh kedua-dua syarikat hari ini adalah untuk penubuhan usaha sama, yang membuka jalan bagi Proton untuk memasang dan memasarkan kereta di China.

Dr Mahathir mengakui bahawa Proton berusaha untuk memasuki pasaran China sejak beberapa waktu.

“Namun kita mengeluarkan kereta pemanduan sebelah kanan yang tidak diterima di China, oleh itu kita perlu mengeluarkan kereta pemanduan kiri, kerana kos di sini lebih rendah daripada di Malaysia.

“Selain itu, saya fikir kita perlukan kereta berkualiti, dan yang akan dihasilkan oleh Proton bersama-sama dengan Geely akan lebih berkualiti berbanding yang kita ada di Malaysia sekarang,” kata Perdana Menteri.

Sementara itu, pengerusi Proton Holdings Bhd Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata usaha sama itu termasuk mewujudkan kemudahan pemasangan dan pengeluaran kenderaan di China dan pembangunan rangkaian peniaga untuk memasarkan kenderaan Proton di negara ini.

“Kemasukan Geely sebagai rakan strategik Proton telah membuka laluan mudah bagi penyertaan Proton ke pasaran China yang menguntungkan,” katanya mengenai negara yang mempunyai penduduk lebih 1.3 bilion orang itu.

Lotus dan Volvo merupakan antara pegangan lain Geely selain menguasai kepentingan besar dalam Daimler yang mengeluarkan Mercedes-Benz.

Semasa lawatan ibu pejabat Geely, Dr Mahathir memandu uji tiga kenderaan termasuk sebuah kereta elektrik.

Beliau kemudiannya menaiki kereta api berkelajuan tinggi ke Shanghai, perjalanan kira-kira 150 km, sebelum mengambil penerbangan ke Beijing untuk meneruskan lawatan rasminya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :