BERITA UTAMASELANGOR

KPS terima tawaran Air Selangor miliki SPLASH

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 OGOS: Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) menerusi syarikat sekutunya, Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd (SPLASH Holdings) menerima tawaran pengambilalihan daripada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) untuk membeli 100 peratus kepentingan ekuiti Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH).

KPS dalam kenyataan berkata, cadangan pengambilalihan itu membolehkan Air Selangor membeli semua 50 juta saham biasa dan 350 juta saham pinjaman boleh tebus tanpa jaminan SPLASH.

Katanya, ia membabitkan pertimbangan pembelian keseluruhan berjumlah RM2.55 bilion.

“SPLASH Holdings dan Air Selangor dijangka memuktamadkan terma dan syarat penjualan serta pembelian SPLASH melalui perjanjian pembelian saham sebelum 14 September ini.

“SPLASH Holdings merupakan syarikat sekutu KPS dengan 30 peratus, oleh itu, penerimaan tawaran pengambilalihan SPLASH tidak memerlukan kelulusan daripada pemengang saham kami,” katanya.

Pembelian itu oleh Air Selangor dilaksanakan sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula dan penggabungan industri air, di Selangor dan Lembah Klang.

Proses terbabit dilaksanakan dalam usaha meningkatkan margin simpanan air dan mengurangkan air tidak berhasil (NRW).


Pengarang :