PBTSELANGOR

Kutip sampah terbiar jika sudah merdeka hampir 61 tahun – YDP MPSJ

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG JAYA, 26 OGOS: Kutip sampah terbiar sekiranya sudah bergelar bangsa merdeka selama 61 tahun, demikian nasihat Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Noraini Roslan.

Katanya, masyarakat Subang Jaya mahupun Selangor perlu mendalami maksud Tema Kemerdekaan kali ke 61 iaitu Sayangi Malaysiaku.

“Pada usia 61 tahun ini, kita sepatutnya sudah mencapai tahap negara maju serta menjalani sebagai sebuah negara bertamadun lebih-lebih lagi di Selangor.

“Hayati apa maksud ‘Sayangi’ ini, jika sayang, bolehkah penduduk jaga kebersihan setempat, kalau nampak sampah, bolehlah anda kutip?, marilah sempena ulangtahun merdeka kali ini kita bersama-sama menjaga kebersihan,” katanya ketika ucapan Karnival Kemerdekaan MPSJ 2018 di Perkarangan Arena MPSJ, hari ini.

Noraini turut mengingatkan penduduk Subang Jaya supaya menghormati serta menjaga sensitiviti satu sama lain.

“Semua kaum perlu memperteguhkan perpaduan serta mendaulatkan undang-undang negara.

“Sempena bulan kemerdekaan ini, janganlah kita menjadikan minda kita terus dijajah, marilah bersama membangunkan Malaysia yang disayangi,” katanya.

Karnival Kemerdekaan MPSJ 2018 yang berjaya menarik 1,000 peserta itu bertujuan memberi kesedaran dan memupuk semangat patriotisme cintakan negara.

Antara aktiviti disediakan adalah Merdeka Fun Walk & Fun Ride, Persembahan Kombo, Kelas Kraftangan, Eco Free Market dan Wish List.

Selain itu, turut dianjurkan Pertandingan Indoor Games, mewarna, sukan traditional, sepakan penalti, soccer kids, karaoke serta gubahan manisan.

 


Pengarang :