BERITA UTAMASELANGORSUKANKINI

MB: Tahniah Pasukan Pilihan Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 OGOS: Kemenangan yang diperolehi Pasukan Pilihan Selangor selepas menewaskan Pasukan Pilihan Singapura malam tadi turut membanggakan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Amirudin melalui laman twitter rasminya mengucapkan tahniah kepada pasukan terbabit.

Katanya, beliau melihat sendiri kesungguhan pasukan itu berlatih secara intensif sepanjang dua minggu di Padang SUK dan di Akademi FAS Puncak Alam.

“Usaha berkenaan telah membuahkan hasil. Ini adalah permata masa depan Merah Kuning,” tulisnya.

Pasukan Pilihan Selangor berjaya menundukkan Pilihan Singapura dalam kategori saingan Piala Sultan Selangor 2018 di Stadium Shah Alam menerusi sepakan penalti 5-3.

Sebelum itu, pasukan veteran Selangor berjaya menewaskan veteran Singapura 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti dalam kategori veteran saingan Piala Sultan Selangor 2018.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan dan menyaksikan Piala Sultan Selangor 2018.

Baginda turut diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Turut hadir pada perlawanan itu adalah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah; Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan pengerusi Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abdul Karim Munisar.

 


Pengarang :