AGAMA

Petugas TH diseru kekalkan momentum menjelang Masyair

MAKKAH, 12 OGOS: Petugas Tabung Haji (TH) bagi operasi haji 1439H diseru untuk mengekalkan momentum di tahap tertinggi dan mengekalkan kerjasama berpasukan menjelang operasi masyair yang dijadual bermula 20 Ogos ini.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Abdul Rahman berkata petugas TH diminta untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada jemaah haji, terutamanya semasa di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

“Pada hari ini, kita telah mengadakan perhimpunan petugas-petugas haji di ibu pejabat TH Makkah kerana kebanyakan petugas haji telah berada di sini menjelang operasi masyair yang semakin hampir.

“Kebanyakan petugas-petugas kita sudah berada di tanah suci untuk tempoh masa 50 hari atau tujuh minggu dan perhimpunan ini diharapkan dapat meniup kembali semangat mereka untuk menjalankan tugas sepanjang baki hari mereka di sini,” beliau memberitahu media selepas Majlis Perhimpunan Petugas Haji Idaman di sini, hari ini.

Sementara itu, Syed Saleh turut menyeru jemaah haji Malaysia untuk mendapatkan rehat yang secukupnya dan mula menyimpan tenaga menjelang hari-hari masyair yang pada kebiasaannya paling mencabar sepanjang musim haji.

“Kita tahu hanya tinggal lebih kurang sembilan hari sebelum bergerak ke Arafah. Arafah merupakan kemuncak kepada ibadat haji, sudah tentunya pergerakan dan keberadaan di Arafah, Muzdalifah dan Mina, menuntut kepada satu tumpuan kepada ibadah yang cukup tinggi,” katanya.

Justeru, Syed Saleh berkata perjalanan dan ibadah masyair tersebut perlu kepada pengorbanan yang besar daripada jemaah haji dan memerlukan persiapan dari segi fizikal dan mental yang begitu tinggi.

Jemaah juga dinasihatkan untuk membawa barang-barang secukupnya seperti yang telah disarankan oleh pihak TH dan mengelakkan membawa barangan berlebihan berikutan ruang khemah yang agak terhad di Arafah dan Mina.

“Keluasan khemah di Arafah dan Mina akan menyulitkan para jemaah sekiranya mereka membawa barang yang berlebihan,” katanya.

Jemaah juga diingatkan supaya tidak terlalu terdedah dengan cuaca panas dan mematuhi jadual-jadual yang telah ditetapkan oleh pihak TH dan muassasah terutamanya berkaitan dengan waktu-waktu melontar jamrah pada hari-hari tasyrik.

“Untuk ibadah melontar di jamrah, pihak muassasah telah menyediakan jadual-jadual untuk melontar bagi setiap negara termasuk Malaysia. Kita harus mematuhi jadual itu supaya tidak terjadi kepadatan yang melampau ketika melontar yang boleh membawa kepada rempuhan dan sebagainya,” katanya.

Setakat ini, Syed Saleh berkata hampir 82 peratus jemaah haji Malaysia sudah berada di Makkah, dan tiada lagi jemaah yang berada di Madinah dan baki beberapa penerbangan jemaah haji akan terus memasuki Makkah melalui Jeddah sehingga 15 Ogos ini.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :