NASIONALPENDIDIKAN

Dr Maszlee jumpa mahasiswa demo Rabu depan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 8 SEPT: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik akan berjumpa kumpulan mahasiswa yang mengadakan demonstrasi membantah pelantikannya sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di pejabat Kementerian Pendidikan, pada Rabu depan.

Menerusi ciapan di Twitternya, beliau memberi jaminan akan bertemu mahasiswa berkenaan secepat mungkin untuk mendengar sendiri pandangan mereka.

“Langkah itu diambil memandangkan saya tidak dapat memenuhi permintaan kumpulan memprotes yang berkeras mahu bertemu secara bersemuka serta-merta dan menuruti tuntutan mereka supaya meletakkan jawatan sebagai Presiden UIAM. Saya berada di Sarawak untuk lawatan kerja.

“Saya dimaklumkan semua mereka terbabit adalah pelajar tetapi maklumat terperinci menunjukkan sebahagian adalah aktivis beberapa badan bukan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, pegawai kementerian turut memastikan kebajikan kumpulan berkenaan termasuk mengadakan perbincangan dengan polis di Putrajaya untuk membebaskan dua daripada mereka yang ditahan bagi soal siasat.

“Kedua mereka dibebaskan dengan jaminan, awal pagi tadi. Saya menghormati hak mereka untuk bersuara dan kebebasan bersuara mahasiswa adalah satu daripada lebih 40 inisiatif 100 hari pertama saya menerajui Kementerian Pendidikan.

“Saya amat prihatin dalam soal kebebasan untuk bersuara mahasiswa dan autonomi universiti akan terus diperkasakan.

“Saya akan meneruskan dasar pintu terbuka untuk bertemu dengan pemegang taruh demi memartabatkan sistem pendidikan negara,” katanya.

Sebelum itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan mengkaji semula pelantikan Dr Maszlee sebagai Presiden UIAM yang menjadi polemik sesetengah pihak.


Pengarang :