GLOBAL

Jack Ma umum persaraan, mahu tumpu aktiviti kebajikan pendidikan

BEIJING 9 SEPT: Pengerusi dan pengasas bersama Alibaba, Jack Ma mengumumkan persaraan daripada syarikat gergasi e-Dagang itu untuk menumpukan kepada kerja-kerja kebajikan dalam bidang pendidikan.

Beliau dalam satu temu bual dengan akhbar The New York Times, berkata, keputusan berundur daripada syarikat itu berkuat kuasa Isnin ini sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-54.

Ma merupakan seorang guru bahasa Inggeris sebelum memulakan Alibaba pada tahun 1999 sehingga berkembang menjadi firma gergasi internet bernilai berjuta-juta dolar sekali gus menjadikannya sebagai antara lelaki terkaya di dunia.

Nilai dirinya melonjak bersama syarikatnya yang menawarkan perkhidmatan pengkomputeran awan, filem dan pembayaran dalam talian.

Syarikat Alibaba bernilai AS$420 bilion (RM1.74 trilion) semasa pasaran saham ditutup pada Jumaat lalu.

Beliau yang dilahirkan dalam keluarga miskin di Hangzhou, wilayah Zhejiang, timur China pernah menjadi pensyarah universiti dan terpaksa berundur daripada kerjayanya selepas terlibat dalam syarikat Alibaba.

Ma semasa berkata kepada The New York Times bagaimanapun menyifatkan persaraannya itu merupakan ‘permulaan satu era’ dan bukannya pengakhiran.

Beliau yang merupakan lelaki kedua terkaya di China memiliki hasil kekayaan bersih bernilai kira-kira AS$40 bilion (RM165 bilion), menurut Index Jutawan Bloomberg.

Beliau menduduki tangga ke-20 dalam senarai individu terkaya dunia.

Dalam satu temu bual dengan siaran televisyen Bloomberg yang disiarkan pada Jumaat lalu, Ma dilihat telah memberi bayangan rancangan untuk bersara.

Ma berkata, beliau mahu mengikuti jejak langkah, pe­ngasas Microsoft, Bill Gates, salah seorang dermawan yang paling prolifik di dunia.

“Terdapat banyak perkara yang saya belajar daripada Bill Gates. Saya mungkin tidak pernah akan menjadi sekaya beliau tetapi satu cara yang saya boleh melakukannya adalah bersara lebih awal.

“Saya pernah terfikir untuk mengajar semula pada satu hari nanti,” katanya.

SUMBER: AFP


Pengarang :