EKONOMISELANGOR

Kekalkan minat pelabur bagi menjamin pertumbuhan ekonomi kekal sihat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 29 SEPT: Negeri Selangor disaran mencari jalan bagi memastikan minat pelabur tempatan dan asing dapat dikekalkan bagi menjamin pertumbuhan ekonomi dan kewangan negeri kekal sihat.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, antara langkah yang bokeh diambil Kerajaan Negeri pada pembentangan Belanjawan Negeri Selangor 2019 nanti adalah menawarkan inisiatif untuk pelabur di negeri itu.

“Selangor akan terus menerima aliran masuk pelaburan yang tinggi di mana ini merupakan sesuatu yang sihat untuk memastikan kadar pertumbuhan ekonomi Selangor berkembang dengan baik dan kewangannya kukuh.

“Ini perlu dikekalkan dan caranya tak lain sudah tentu dengan menggalakkan pelaburan di Selangor diteruskan supaya pertumbuhan ekonomi kekal tinggi,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Rosli berkata, Selangor merupakan antara negeri yang mencatatkan jumlah pelaburan yang tinggi selain Pulau Pinang.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar terdahulu, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali memperkukuhkan ekonomi negeri itu dengan membawa banyak pelabur asing yang terdiri daripada syarikat gergasi antarabangsa.

Langkah itu dijangka akan diteruskan pengganti beliau iaitu Dato’ Menteri Besar yang ada hari ini, Amirudin Shari dengan pelbagai pendekatan dan penambahbaikan strategi sedia ada.


Pengarang :