NASIONAL

KKKM pergiat sebar maklumat berkaitan SST

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PUTRAJAYA, 6 SEPT: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) termasuk agensi serta jabatan di bawahnya mempergiat usaha menyampaikan maklumat berkaitan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) supaya difahami dan diterima baik masyarakat.

Ketua Setiausahanya, Datuk Dr Mohd Ali Mohamad Nor berkata, penggunaan pelbagai platform komunikasi sedia ada di jabatan dan agensi di bawah KKMM dilihat dapat membantu memastikan penyampaian komunikasi secara bersepadu yang efektif serta berkesan.

“Melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Jabatan Penerangan dengan secara cepat dan tepat dapat menguar-uarkan maklumat mengenai SST supaya tiada kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Taklimat SST di Dewan Serbaguna B2, di sini, hari ini.

Beliau berkata, selain kaedah konvensional dan program bersemuka dengan orang awam, capaian melalui sosial media juga digunakan bagi memberi penerangan serta membetulkan pandangan yang tidak tepat tentang pelaksanaan cukai terbabit.

Katanya, peranan KKMM melalui jabatan dan agensi turut diperlukan bagi mendapatkan maklum balas daripada rakyat untuk disampaikan kepada Kementerian Kewangan memandangkan senarai barangan SST masih belum dimuktamadkan sehingga akhir tahun.

“Adalah diharapkan taklimat pada hari ini yang dihadiri kira-kira 600 peserta daripada KKMM, jabatan dan agensi serta wakil-wakil daripada kementerian lain dapat memberi penjelasan dan kefahaman kepada mereka seterusnya dapat menyebar maklumat berkenaan SST kepada semua rakyat,” katanya.

Mohd Ali berkata, taklimat sama juga akan diadakan di Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat bagi memberi peluang sama kepada pihak berkepentingan di kedua-dua negeri mendapatkan maklumat serta membuat persediaan sebaiknya sebelum berhadapan masyarakat.

– Bernama


Pengarang :