SELANGOR

Bekalan air pulih secara berperingkat

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 10 OKT: Bekalan air dilaporkan pulih secara berperingkat di Sepang, Kuala Langat, Petaling dan Hulu Langat.

Air Selangor dalam kenyataan berkata, pemulihan itu berjalan lancar dan beberapa kawasan mula mendapat bekalan air, seawal jam 6 pagi.

Katanya, ia ekoran kerja penggantian peralatan di Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dapat disiapkan lebih awal daripada yang dijadualkan.

“Di Kuala Langat, antara kawasan yang pulih antaranya Kampung Orang Asli Busut Baru, Jugra, Sungai Buaya, Bandar Saujana, sementara Hulu Langat ialah Bandar Baru Bangi, Kajang, Bandar Teknologi, Bangi Estate, Desa Surada Sungai Ramal dan Desa Serdang.

“Bagi Sepang, kawasan yang sudah pulih ialah sebahagian Putrajaya dan Cyberjaya, sementara Petaling ialah Kampung Kenangan Puchong, Kampung Bersatu Puchong, Taman Sri Puchong, UPM, dan Pusat Bandar Puchong,” katanya.

Sehingga kini sebanyak lapan Pusat Khidmat Setempat Air Selangor beroperasi 24 jam bagi menyalurkan bantuan secara berterusan kepada pelanggan terbabit hingga bekalan pulih sepenuhnya.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang www.syabas.com.my, facebook ‘Air Selangor’, twitter @air_selangor dan aplikasi telefon pintar Air Selangor yang boleh dimuat turun di Google Play dan App Store.


Pengarang :