EKONOMINASIONAL

BNM rendahkan CTR harian kepada RM25,000 bermula 1 Jan 2019

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengurangkan laporan transaksi tunai (CTR) harian kepada RM25,000 daripada RM50,000 pada masa ini, berkuat kuasa 1 Jan, 2019.

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata langkah itu akan menjadikan CTR Malaysia setara dengan negara lain, memandangkan had semasa adalah terlalu tinggi dan tidak menepati saiz ekonomi negara, terutama apabila berkaitan dengan kuasa beli.

“Oleh itu, sudah tiba masanya kita mencari pendekatan memperkukuh kawalan tersebut dalam mengurangkan jenayah kewangan, iaitu dengan keperluan CTR,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Persidangan Antarabangsa Mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) 2018 di sini, hari ini.

Menurut laman web BNM, CTR merujuk kepada transaksi tunai melebihi RM50,000 (atau sebarang jumlah lain yang dinyatakan) melibatkan mata wang fizikal (mata wang domestik atau asing) dan instrumen boleh runding pembawa seperti cek pengembara, tidak termasuk draf, cek, pindahan elektronik atau pembiayaan semula atau pembaharuan deposit tetap.

Ia juga termasuk transaksi melibatkan pengeluaran tunai daripada akaun atau tukaran instrumen boleh runding pembawa bagi tunai. Pada masa ini, hanya institusi perbankan dan kasino berlesen diwajibkan menyediakan CTR.

Nor Shamsiah berkata dengan CTR dikurangkan, bank pusat menjangkakan tiada sebarang kesan dari segi aktiviti ekonomi, malah meningkatkan keberkesanan dalam mengawal kegiatan ekonomi di luar sistem pengawalseliaan dan pencukaian yang masih bergantung kepada transaksi tunai.

Beliau menjelaskan CTR yang lebih rendah juga boleh memperkukuh kawalan untuk mengurangkan jenayah kewangan, kerana pengekalan transaksi tunai dalam kalangan awam serta perniagaan kecil dan sederhana masih tinggi, walaupun dengan kemunculan teknologi.

“Ini mendedahkan ekonomi ini kepada risiko, memandangkan tunai masih digunakan oleh penjenayah sebagai cara untuk melaburkan hasil haram,” katanya.

Beliau berkata, selain itu, transaksi tunai juga merupakan kaedah pilihan untuk membiayai aktiviti keganasan.

Justeru itu, CTR perlu dikemas kini, katanya.

Nor Shamsiah berkata, mata wang dalam edaran di Malaysia telah meningkat kira-kira 150 peratus sejak​​​​​​​sedekad lepas.

“Bagaimanapun, jika kita menilainya berasaskan Keluaran Dalam Negara Kasar, ia agak stabil, berada dalam julat antara 6.1 dan 6.9 peratus sejak lima tahun lepas,” katanya.

Sementara itu, semasa sidang media, Pengerusi Penganjuran IFCTF 2018, V Maslamani berkata merendahkan CTR itu merupakan langkah baharu yang tepat pada waktunya memandangkan had RM50,000 adalah tinggi berbanding di Amerika Syarikat, yang melaksanakan CTR hanya pada US$10,000.

Bagaimanapun, beliau bersetuju bahawa langkah BNM tersebut akan meningkatkan kos tambahan bagi bank namun ia adalah minimum.

IFCTF 2018 selama dua hari mulai hari ini dianjurkan Institut Kewangan Asia dengan kerjasama Kumpulan Jaringan Pegawai Pematuhan, menampilkan lebih 40 penceramah dan pakar khusus berkongsi penyelesaian rentas sempadan dalam menangani jenayah kewangan dan pembiayaan keganasan.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :