SUKANKINI

Cub Prix: Afif atur strategi terbaik di Jempul

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 16 NOV: Ahmad Afif Amran bakal dinobatkan juara keseluruhan kategori CP150 jika menamatkan perlumbaan pada kelompok 10 pelumba terbaik, pada saingan Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jempol, Negeri Sembilan, pada Sabtu dan Ahad ini.

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing itu kini berkelebihan 44 mata ke atas pencabar terdekat, Kasma Daniel Kasmayuddin yang menyekat Afif daripada memenangi gelaran lebih awal selepas menjuarai perlumbaan di Batu Kawan, Pulau Pinang.

Walaupun hanya perlu menempatkan diri pada kedudukan ke-10, namun Afif perlu bijak mengatur strategi memandangkan gandingannya bersama Md Hafiz Nor Azman dan Md Aiman Tahiruddin turut bersaing memastikan gelaran juara keseluruhan berpasukan menjadi milik mereka.

Secara matematik, Afif berkata, enam mata sudah cukup membantunya mengekalkan kedudukan pendahulu keseluruhan tetapi pada masa sama beliau perlu mengumpul banyak mata untuk pasukan kerana kedudukan dengan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor belum selamat.

“Jika pelumba mereka menamatkan perlumbaan di podium, jurang mata kami akan semakin mengecil, maka saya dan Hafiz serta Aiman perlu menamatkan perlumbaan di podium atau tidak boleh ketinggalan jauh dengan mereka.

“Saya dan rakan sepasukan perlu merencana strategi terbaik untuk memastikan kedua gelaran menjadi milik pasukan kami, pada musim ini dan Hafiz juga sedang bersaing menamatkan musim ini dalam kelompok tiga pelumba terbaik.

“Maka, beliau perlu menamatkan saingan di atas podium, mudah-mudahan semuanya berjalan lancar minggu ini,” katanya.

Selepas lapan pusingan, PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ Racing mendahului kedudukan keseluruhan berpasukan dengan 298 mata, manakala PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor di kedudukan kedua (248 mata).

Manakala Motul Zeneos Yamaha YY Pang (ketiga) dengan 118 mata.


Pengarang :