EKONOMISELANGOR

F&N labur RM15 juta dalam kilang tenusu di Pulau Indah

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Fraser and Neave Holdings Bhd (F&N) akan melabur RM15 juta untuk meningkatkan kapasiti kilang pengeluaran tenusunya di Pulau Indah pada tahun kewangan 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif Lim Yew Hoe berkata langkah itu untuk memenuhi permintaan daripada pasaran tempatan dan eksport yang dijangka mengatasi sasaran jualan eksport kumpulan itu sebanyak RM800 juta menjelang 2020.

“Pada masa ini, kilang pengeluaran di Pulau Indah beroperasi pada kapasiti penuh, mengeluarkan kira-kira 16 juta produk susu dalam tin, setahun,” katanya pada taklimat media mengenai keputusan kewangan kumpulan itu bagi tahun kewangan 2018 berakhir 30 Sept, 2018, di sini hari ini.

Keuntungan bersih F&N bagi tahun kewangan 2018 naik kepada RM385.13 juta berbanding RM323.37 juta pada tahun sebelumnya, manakala perolehan meningkat kepada RM4.11 bilion berbanding RM4.10 bilion sebelum ini disebabkan jualan eksport yang lebih tinggi dan promosi perayaan yang berkesan.

Lim berkata keputusan yang menggalakkan itu menunjukkan komitmen kumpulan untuk memenuhi keperluan pelanggan dan pengguna, selain terus berada di hadapan dalam trend industri yang sentiasa berubah.

“Walaupun keadaan pasaran mencabar, kami terus menumpukan kepada pembangunan kapasiti dan keupayaan, mengoptimumkan kos dan mengekstrak sinergi, memanfaatkan inovasi yang menumpukan kepada pengguna untuk memberikan penawaran produk baharu dan unik, selain memperluaskan capaian perniagaan eksport kami,” katanya.

Beliau berkata perbelanjaan modal kumpulan itu telah dilaburkan sejak tiga tahun lepas yang membantu memudahkan keupayaan pengeluaran sumber dalaman untuk mengurangkan lagi kos operasi dan kos barangan yang dijual.

Lim berkata kumpulan itu juga akan mengubah format pembungkusannya untuk memenuhi pelbagai keperluan pengguna.

“Misalnya, 100PLUS ACTIVE dalam paket serbuk dilancarkan pada tahun kewangan 2018 untuk pelancong dan mereka yang sentiasa bergerak, manakala susu pekat manis dan susu sejat juga boleh didapati dalam pembungkusan yang fleksibel.

“Semasa kami memenuhi permintaan pengguna, kumpulan akan terus meminimumkan kesan selepas penggunaan melalui penyelidikan dan pembangunan iaitu pembungkusan yang mesra alam sekitar dan meninjau lebih banyak inisiatif untuk meningkatkan kitar semula pembungkusan yang digunakan dalam produk kami,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :