SELANGOR

Golf Amal YIDE 2018 kutip dana RM600,000

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 4 NOV: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) berjaya mengumpul dana sejumlah RM600,000 melalui penganjuran Kejohanan Golf Amal (KGA YIDE 2018), di Kelab Golf Seri Selangor, di sini, semalam.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YIDE, Dato’ Bakhtiar Hussin berkata, sumbangan itu digunakan bagi melaksanakan aktiviti termasuk bantuan malapetaka dan musibah.

Katanya, ia juga akan disalurkan kepada 12 buah rumah kebajikan berdaftar di negeri ini membabitkan seramai 8,500 anak yatim.

“Kejohanan kali kedua ini bertujuan mendapatkan sumbangan dana daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan korporat dan sektor swasta yang beroperasi di Selangor khususnya dan Malaysia amnya.

“Sambutan diterima amat menggalakkan dan secara tidak langsung objektif penubuhan YIDE yang berorientasi sebagai penyalur bantuan dan kebajikan umat Islam di Selangor akan dapat direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Penyampaian Hadiah (KGA-YIDE 2018), di sini, hari ini.

Penyampaian replika cek tajaan dan hadiah disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM), Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang berkenan berangkat ke majlis berkenaan.

Hadir sama, Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya; Pengerusi MAIS, Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif YIDE, Nor Mohd Razali Abdullah; Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri, Dato’ Nik Suhaimi Nik Sulaiman dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Nor Azmie Diron.

Mengulas lanjut, Bakhtiar berkata, sumbangan diterima itu membolehkan pihaknya untuk menyediakan perkhidmatan rawatan hemodialisis di enam Pusat Dialisis yang diuruskan MAIS.

“Kesemua pusat dialisis ini mampu menampung sehingga 260 pesakit yang diberi bantuan oleh Zakat Selangor, JPA dan jabatan-jabatan lain,” katanya.

Terdahulu, KGA YIDE 2018 menawarkan hadiah ‘Novelties Hole In One’ iaitu sebuah kenderaan Proton Persona dan Piala Pusingan Raja Muda Selangor kepada pemenang.

Manakala, sebanyak 32 Flight ditawarkan membabitkan 128 pemain golf terdiri daripada syarikat GLC Selangor, syarikat swasta, pemaju, hartanah, anak syarikat MAIS dan orang awam.

 


Pengarang :