NASIONAL

KEADILAN perlu bersedia hadapi PRN Sarawak

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 NOV: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa anggota parti bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang bakal berlaku kurang dua tahun dari sekarang.

Katanya, gerak kerja awal pimpinan KEADILAN juga perlu dilakukan dalam usaha menawan Sarawak, di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN).

“Usaha untuk menawan Sarawak oleh KEADILAN dan PAKATAN perlu dilakukan lebih awal bagi memastikan nasib rakyat negeri itu akan lebih terbela apabila kita menawannya seperti di Sabah,” katanya.

Bercakap pada sesi penggulungan Presiden, pada Kongres Nasional KEADILAN ke-13 di IDCC Shah Alam, beliau turut menyarankan Jabatan Pilihan Raya Pusat mengambil langkah awal untuk menjalankan gerak kerja, khususnya di Sarawak.

Katanya, gerak kerja awal termasuk program turun padang juga perlu dilakukan sebagai usaha menawan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis.

“Perbanyakkan program turun padang dan penerangan kepada rakyat. ‘We need more engagement with them’. Jangan kita pinggirkan rakyat di negeri ini.

“Mereka perlu pembelaan sewajarnya. Bantu mereka dan saya percaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang, InsyaAllah negeri ini akan tumbang kepada PAKATAN,” katanya.


Pengarang :