SELANGOR

MAIS serah dana NGO-i, perkasa aktiviti dakwah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 26 NOV: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyerahkan sumbangan dana antara RM10,000 hingga RM25,000 kepada 81 badan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO-i) berdaftar menerusi aktiviti dakwah yang dijalankan.

Pengerusinya, Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi berkata, sumbangan fasa kedua untuk tahun ini membabitkan jumah keseluruhan RM2.2 juta bagi memperkasa aktiviti dakwah NGO-i, selain meningkatkan pembangunan sahsiah umat Islam.

Katanya, daripada jumlah itu, RM1.5 juta adalah melalui peruntukan tambahan Asnaf Fisabilillah Lembaga Zakat Selangor.

“Antara NGO-i yang menerima sumbangan adalah Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (PEPIAS), Persatuan Sukarelawan IslamHospital Selangor (SAHABAT), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia Negeri Selangor (PEMADAM) dan Persatuan Ulamak Malaysia Cawangan Selangor.

“Penambahan ini menunjukkan prestasi dan komitmen sangat baik diberikan sepanjang aktiviti dakwah dan prestasi ini harus dikekalkan bagi memastikan kelangsungan program dakwah kepada masyarakat dapat dilaksana dengan lebih berkesan, pada masa akan datang,” katanya.

Beliau bercakap demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Persidangan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO-i) MAIS Bil.2/2018, di Hotel Concorde, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan, Dato’ Pahlawan Mohd Shukri Dahlan dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim.

Program itu bertujuan memberi pendedahan kepada peserta NGO-i bagi berkongsi cabaran dakwah dalam mendepani ancaman akidah serta ancaman sosial umat Islam.

Majlis sama turut menyaksikan penyerahan sumbangan Geran Tahunan Rumah Kebajikan Perlindungan Anak Yatim kepada 12 rumah anak yatim berjumlah RM220,000

Mengulas lanjut, Mohammed Khusrin berkata, NGO-i perlu lebih amanah dalam menggunakan bantuan dana diterima mengikut garis panduan ditetapkan.

“Program yang dilaksanakan perlu dirancang terlebih dahulu dan fokus kepada kumpulan sasaran dengan konsisten serta sistematik.

“Sebaiknya mengutamakan pelaksanaan program yang memberi penjelasan tepat berkaitan perkara agama Islam berlandaskan al-Quran, as-Sunnah dan ijma’,” katanya.


Pengarang :