NASIONAL

Mohon maaf berserta S$7.5 bilion – Guan Eng

PUTRAJAYA, 18 JAN: Permohonan maaf oleh Goldman Sachs tidak cukup, sebaliknya ia perlu membayar pampasan kepada Malaysia ekoran peranan rakan kongsinya dalam skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, permohonan maaf itu perlu bagi negara dan rakyat Malaysia, namun Goldman Sachs juga harus menanggung dan menunjukkan tanggungjawabnya.

“Mohon maaf sahaja tidak cukup, sebaliknya mohon maaf berserta S$7.5 bilion, itu yang penting.

“Hanya apabila anda membayar pampasan, maka ia akan memadai,” katanya lapor BERNAMA.

Pada Rabu, Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs Group Inc, David Solomon memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas peranan bekas pegawai bank di firma itu dalam skandal 1MDB.

Goldman membantu menguruskan bon US$6.5 bilion bagi 1MDB dan Malaysia menfailkan pertuduhan jenayah terhadap bank itu serta dua bekas kakitangannya atas tuduhan mencuri.

Guan Eng berkata, Goldman perlu bertanggungjawab kerana perkara itu turut membabitkan pelanggaran tanggungjawab kewangan memandangkan industri perbankan mempunyai obligasi membayar kerugian yang ditanggung Malaysia.

“Goldman harus memahami kesan negatif ditanggung rakyat Malaysia disebabkan skandal 1MDB,” katanya.

Ketika ditanya sama ada kerajaan akan menggugurkan pertuduhan berkenaan jika Goldman membayar ganti rugi itu, beliau: “sekiranya mereka membayar kita US$7.5 bilion, barulah kita akan membincangkannya.”

 

 


Pengarang :