Sebanyak 34,090 kes demam denggi dilaporkan di Selangor dari Januari hingga 1 Ogos.
PBTSELANGOR

MPK salur RM5,000 kepada Ahli Majlis cegah denggi

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 17 JAN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) memperuntukkan RM5,000 kepada semua Ahli Majlisnya bagi melaksanakan program membasmi denggi, di kawasan masing-masing.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, seramai 23 Ahli Majlis menerima peruntukan itu sebagai salah satu langkah mengurangkan penularan wabak denggi, di daerah berkenaan.

“Dengan peruntukan itu, kita mahu setiap Ahli Majlis untuk mengadakan program berkaitan seperti gotong-royong supaya tempat pembiakan Aedes dapat dihapuskan.

“Kita optimis dengan cara ini ia sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan wabak denggi di Klang, sekali gus menjadikan daerah ini sebagai kawasan selamat daripada pembiakan Aedes,” katanya kepada SelangorKini.

Bagaimanapun, beliau berkata, usaha itu tidak akan mampu dilaksanakan jika masyarakat tidak memainkan peranan membasmi Aedes.

“Kempen 10 minit membersihkan rumah dilancarkan sejak April tahun lalu dilihat tidak mendapat sambutan penduduk kerana ada antara mereka masih menyimpan barangan lama sehingga menjadi punca takungan air.

“Malah, botol plastik serta polisterin juga dibuang merata tempat, sekali gus boleh mengundang pembiakan nyamuk Aedes.

“Oleh itu, kita amat berharap tahun ini, penduduk dapat bekerjasama mengamalkan amalan 10 minit itu supaya usaha membendung wabak denggi di Klang tercapai,” katanya.

 


Pengarang :