PBTSELANGOR

Guna kiosk cepatkan bayaran bil, cukai dan kompaun

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 11 FEB: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengambil inisiatif dengan melaksanakan pembayaran cukai, kompaun, sewaan, tempahan, bayaran bil pelbagai dan cagaran (tunai) menggunakan mesin kiosk dalam usaha mengurangkan kesesakan di kaunter khususnya pada waktu puncak.

Sekretariat Media, Unit Komunikasi Korporat MBPJ berkata, mesin kiosk itu dibangunkan bertujuan untuk memberi kemudahan kepada pelanggan membuat bayaran tanpa perlu beratur dan mempercepatkan urusan pembayaran.

Lebih menarik, katanya, kiosk bayaran akan beroperasi pada pada setiap hari bermula jam 7.30 pagi hinggga 9.00 malam termasuk hari cuti dan hari kelepasan am.

“Pada masa ini, MBPJ menyediakan lima mesin kiosk bayaran di tiga lokasi iaitu dua unit di lobi Ibu Pejabat MBPJ, dua unit di lobi Menara MBPJ dan satu unit di Pejabat Cawangan Petaling Jaya Utara, Kota Damansara.

“Mesin kiosk itu juga mampu memberikan baki tunai dan menerima transaksi kad kredit tanpa had bagi setiap transaksi. Maklumat bayaran akan dikemas kini secara ‘real time’ dan berintegrasi dengan sistem sedia ada,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu turut menyebut, kiosk itu turut berfungsi membantu untuk mengelakkan risiko kesilapan mengira dan penerimaan wang palsu serta menepati spesifikasi ciri keselamatan tunai seperti yang ditetapkan Bank Negara Malaysia.

“Selain itu, segala transaksi kutipan dapat dipantau dari pejabat pada bila-bila masa melalui sistem pengkalan data yang digunakan.

“Inisiatif yang dihasilkan oleh MBPJ ini dilihat sebagai salah satu medium meningkatkan lagi tahap sistem perkhidmatan dan penyampaian kepada orang awam serta memastikan ia sentiasa produktif, cekap, amanah dan telus,” katanya.

Pada masa sama, katanya, mesin kiosk itu mula beroperasi secara ‘trial-run’ sejak 22 Januari lalu dan sehingga 29 Januari mesin kios bayaran itu menerima 622 bilangan transaksi dengan bayaran berjumlah RM 295,280.41 bagi bil yang dikeluarkan MBPJ.

Selain mesin kiosk bayaran, katanya, antara medium atau kaedah pembayaran lain yang disediakan oleh MBPJ ialah kaunter bayaran, E-Pay, kaunter bergerak (Ez-Pay), kaunter pandu laju dan juga perbankan internet (Jom Pay).

 


Pengarang :