Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad
NASIONAL

Kerajaan, pemilik bangunan bincang selesai isu ceroboh tanah

PUTRAJAYA, 3 FEB: Pemilik bangunan yang menceroboh dua lot tanah kerajaan di Medan Imbi, Bukit Bintang, telah menulis surat kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan memulakan perbincangan bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, pemilik bangunan itu bercadang untuk membeli tanah terbabit namun perbincangan lanjut perlu dibuat bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Itu cadangan mereka tetapi kami masih perlu bincang. Kami juga perlu buat kaji selidik dengan penduduk sekeliling mengenai kehendak mereka,” katanya kepada pemberita selepas program Hari Tanpa Kereta sempena Hari Wilayah 2019 di sini, hari ini, lapor BERNAMA.

Pada 16 Januari lalu, Khalid mendedahkan kes pencerobohan tanah Lot 568 milik Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan dan Lot 716 milik Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan di bawah seliaan Ketua Setiausaha Negara.

Beliau dilaporkan berkata, dua lot tanah seluas 0.14 hektar itu pada asalnya adalah taman permainan dan kawasan lapang yang dipenuhi pokok tetapi kini sudah digantikan dengan sebuah bangunan pejabat enam tingkat serta gerai buah-buahan.

Pada 23 Januari lalu, pejabat Khalid turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan dibuat sekiranya terdapat unsur salah laku dan penyalahgunaan kuasa dalam memberi kebenaran merancang untuk membina struktur kekal di atas tanah terbabit.

Mengenai pencerobohan dua lagi lot tanah milik kerajaan di Mukim Petaling dan Mukim Setapak, Kuala Lumpur yang didedahkannya pada Rabu lalu, katanya, pihak pemaju telah menghubungi kementerian secara tidak rasmi.

“Mereka telah berhubung secara tidak rasmi tetapi mereka belum lagi datang kepada kami, mereka mahu tahu apakah opsyen mereka,” katanya.

Ditanya sama ada laporan kepada SPRM akan turut dibuat berhubung kes terbaharu itu, Khalid berkata, laporan akan dibuat selepas sambutan Tahun Baharu Cina.

Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata, pencerobohan tanah itu membabitkan Kompleks Tun Abdul Ghafar Baba di Lot 33600, Jalan Kuchai Jaya 1 Mukim Petaling dan Dewan Shazac Bistari Kompleks Yayasan Wangsa Perdana di Lot 27679 Jalan Gombak, Mukim Setapak.

Khalid berkata, tanah di Kompleks Tun Abdul Ghafar yang berkeluasan 1.97 hektar memperoleh Perintah Pembangunan daripada pihak berkuasa pada 25 April 2017 manakala Dewan Shazac Bistari Kompleks Yayasan Wangsa Perdana berkeluasan 0.28 hektar tidak mempunyai Perintah Pembangunan.

Terdahulu semasa program terbabit, Khalid menerima sijil Malaysia Book of Records (MBOR) bagi pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) atas pencapaiannya sebagai pasukan pertama yang berjaya melengkapkan tujuh sukan pelbagai disiplin berturutan.

Rekod itu membabitkan tujuh jenis sukan iaitu larian, berbasikal, berenang, berkanu, mendaki tangga, terjunan base dan berkuda yang dilengkapkan dalam masa kurang enam jam oleh tujuh pegawai PPj.

Presiden PPj, Datuk Dr Aminuddin Hassim turut menyertai acara itu dalam sukan menunggang kuda sejauh 5 kilometer.


Pengarang :