NASIONAL

Najib didakwa semula babitkan pengubahan wang haram RM47 juta

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa semula di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini membabitkan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM47 juta.

Beliau didakwa semula atas pertuduhan lima tahun lepas itu dalam tempoh tidak sampai 24 jam.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan itu mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Dalam ketiga-tiga pertuduhan itu, Najib didakwa terbabit dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang keseluruhannya RM47 juta, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram dalam tiga akaun AmPrivate Banking miliknya.

Najib dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Pertuduhan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup mencadangkan Najib diikat jamin dengan ‘jaminan mulut’ tanpa penjamin.

“Prosiding pendakwaan pada 28 Jan lepas tidak dikenakan jaminan kerana ia adalah pertuduhan tambahan kepada tuduhan sedia ada di Mahkamah Tinggi, namun pertuduhan hari ini belum lagi dibawa ke Mahkamah Tinggi.

“Kami mengambil kira yang tertuduh berdepan banyak pertuduhan sebelum ini dan diikat jamin kira-kira RM6 juta dan pasport diserahkan pada mahkamah, justeru kami bersetuju untuk mencadangkan ‘jaminan mulut’, ke atas tertuduh bagi kes ini,” katanya.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib berterima kasih kepada pihak pendakwaan yang mencadangkan jaminan tersebut yang disifatkan satu cadangan adil.

Mahkamah membenarkan Najib diikat jamin dengan bon peribadi tanpa dikenakan cagaran bagi ketiga-tiga pertuduhan itu.

Mahkamah menetapkan 8 Mac untuk sebutan semula kes.


Pengarang :