SELANGOR

Yakin pengundi Semenyih pilih Muhammad Aiman

OLEH NORHAYATI UMOR

KAJANG, 16 FEB: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih akan memberikan sokongan penuh kepada calon Pakatan Harapan (PAKATAN).

Katanya, Muhammad Aiman Zainali bukan sahaja berkelayakan tetapi juga seorang pemuda yang aktif dan komited membantu penduduk DUN berkenaan.

Beliau berkata, dengan kelebihan itu, ia sekali gus, memberi jaminan bahawa agenda pembangunan di kawasan terbabit akan dapat dilaksanakan dengan mudah.

“Seperti yang saya umumkan semalam, Muhammad Aiman merupakan calon yang terpilih, sangat berkelayakan, dan orang muda.

“Selepas Pilihan Raya Umum ke-14, kita berjaya mengambil alih Putrajaya. Jadi, secara logiknya jika wakil PAKATAN menang, maka lebih mudah untuk jalankan tugas dan mendapatkan bantuan dari Kerajaan Negeri atau Pusat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada selepas Penamaan Calon bagi PRK DUN Semenyih, di sini.

Pada masa sama, Muhyiddin yakin Muhammad Aiman mampu menyelesaikan isu setempat antaranya kesesakan lalu lintas, sistem pengangkutan awam, banjir dan sampah serta kesesakan di Hospital Kajang.

“Jentera pilihan raya mengenal pasti masalah-masalah penduduk setempat, antaranya kesesakan lalu lintas, masalah banjir, serta kesesakan di Hospital Kajang.

“Oleh itu, saya percaya beliau mampu menyelesaikannya jika diberi mandat. Itu masalah yang diutarakan penduduk Semenyih dan kita mengambil maklum perkara itu,” katanya.

PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara PAKATAN, Barisan Nasional (BN), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan bebas.

Selain Muhammad Aiman Zainali, 30, BN mempertaruhkan pemimpin tempatan, Pengerusi Tetap UMNO cawangan Kampung Sesapan Kelubi, Zakaria Hanafi, 58.

Selain itu, PSM pula menamakan Nik Aziz Afiq Abdul, 25 sebagai calon.

Manakala, Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat Malaysia, Kuan Chee Heng, 57, juga dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’ bertanding atas tiket bebas.

 


Pengarang :