NASIONALSUKANKINI

Atlet negara atasi rekod Kejohanan Remaja ASEAN

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Atlet muda negara beraksi cemerlang apabila memecahkan dua rekod temasya pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara 2019 di Kompleks Sukan Ilagan di Bandar Ilagan, Filipina, hari ini.

Muhammad Azeem Mohd Fahmi, 15, muncul ‘Putera Pecut’ ASEAN selepas meraih pingat emas acara 100m dengan mencatat rekod baharu kejohanan, 10.63s.

Rekod terdahulu kejohanan olahraga Asia Tenggara itu dipegang pelari muda Thailand, Rattanopon Sowan dengan masa 10.74s yang dilakukan pada edisi 2011 di Jakarta, demikian menurut keputusan diperoleh daripada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) hari ini.

Acara 100m lelaki itu juga menyaksikan dua kedudukan teratas milik atlet Malaysia selepas Muhammad Arsyad Md Saat meraih pingat perak setelah mencatat 10.87s, manakala pelari Indonesia Muhammad Ardiansyah memenangi gangsa dengan catatan 10.87s.

Sementara itu, atlet kelahiran Sarawak, Jonah Chang Rigan meleburkan rekod acara lontar peluru dengan balingan sejauh 18.03m, sekali gus memadamkan rekod seorang lagi atlet Thailand, Patcharapol Singrueang, 16.76m yang dicipta tahun lalu, untuk meraih pingat emas.

Atlet Thailand, Bandit Singhatongkul memenangi pingat perak dengan merekodkan 17.62m, manakala Lee Jun Long Matthew dari Singapura membawa pulang gangsa dengan catatan 17.01m.

Dalam pada itu, kontinjen Malaysia menambah koleksi pingat emas menerusi Mohd Irfan Izzah dalam acara 110m berpagar lelaki.

Atlet berusia 17 tahun dari Manjung, Perak itu mencatat masa 13.75s untuk meraih pingat emas manakala peserta Singapura, Marc Brian Louis (14.07s) dan atlet Thailand, Suttipong Tongpech (14.38s) masing-masing memenangi perak dan gangsa.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :