SELANGOR

Dr Daroyah angkat sumpah Timbalan Speaker, Zakaria ADN baharu Semenyih

OLEH AFIX REDZUAN & ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 18 MAC: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Dr Daroyah Alwi mengangkat sumpah selaku Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) bagi menggantikan ADN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman.

Pelantikan Dr Daroyah dibuat selepas Mohd Khairuddin dilantik menjadi EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan selepas mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada 10 Disember 2018.

Sejak Pakatan Harapan (PAKATAN) mentadbir Selangor pada 2008, ni merupakan kali kedua Timbalan Speaker DNS di lantik dalam kalangan ADN wanita.

Sebelum ini, EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar yang juga ADN Lembah Jaya, Haniza Talha pernah dilantik selaku Timbalan Speaker DNS bergandingan ADN Bandar Baru Klang, Dato’ Teng Chang Kim selaku Speaker DNS.

Turut mengangkat sumpah, Zakaria Hanafi yang secara rasmi telah dipilih sebagai ADN Semenyih.

Kedua-dua mereka mengangkat dan menandatangani surat sumpah di hadapan Speaker DNS, Ng Suee Lim tepat jam 10.08 pagi sambil disaksikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Pada 2 Mac lalu, Zakaria memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih selepas meraih 19,780 undi menewaskan tiga lagi pencabarnya dalam PRK itu.

PRK Semenyih diadakan ekoran kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada PAKATAN, pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Ia adalah PRK keenam selepas PRU-14 pada Mei tahun lalu, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September), Parlimen Port Dickson (13 Oktober) dan Parlimen Cameron Highlands (26 Januari).


Pengarang :