NASIONAL

Khazanah rugi ekoran pelaburan besar BN

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 6 MAC: Kerugian dialami Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) berpunca daripada pelaburan kerajaan terdahulu, sebelum pentadbiran negara diambil alih Pakatan Harapan (PAKATAN).

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerugian paling besar dicatatkan dalam Malaysia Airlines, dengan penyata keuntungan dan kerugian lebih RM3 bilion ekoran strategi dilaksanakan gagal membaik pulih syarikat itu.

“Walaupun benar Khazanah melaporkan kerugian RM6 bilion dan meningkat kepada RM7 bilion ekoran pengurangan nilai aset, namun ia berpunca daripada semakan semula aset dan pelaburan yang dibuat sebelum PAKATAN mengambil alih kerajaan,” tulisnya melalui Twitter, semalam.

Terdahulu, media melaporkan Khazanah merekodkan kerugian sebelum cukai RM6.3 bilion, pada 2018 berbanding untung sebelum cukai RM2.896 bilion, pada tahun sebelumnya.

Keuntungan terjejas ekoran penghapusan pelaburan yang sedikit, pengurangan pendapatan dividen dan rosot nilai yang tinggi.

Mohamed Azmin turut membidas Datuk Seri Najib Razak yang dilaporkan berkata, Khazanah tidak pernah mengalami kerugian dalam tempoh sepuluh tahun dirinya menjadi Perdana Menteri.

“Jika tahu sedikit, janganlah berlagak seperti bijak pandai (a little knowledge being dangerous).
Masalahnya bagi sesetengah ahli politik hari ini, menteri yang gagal dahulu, mereka hanya akan bercakap dahulu, periksa (fakta) kemudian.

“Akhirnya meludah ke langit, terkena muka sendiri,” katanya.

Pada masa sama, beliau optimis Khazanah akan menjana keuntungan semula tahun ini, melalui pengurangan pelaburan yang dibuat sejak beberapa tahun lalu.

“Ketepikan polemik rugi ini kerana pada dasarnya, kerugian dialami ekoran kecacatan pelaburan yang dibuat sebelum PAKATAN mengambil alih pentadbiran negara, pada 9 Mei tahun lalu,” katanya.

Semalam, Khazanah menyasarkan untuk kembali mencatat keuntungan pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019, didorong susut nilai lebih rendah serta unjuran pasaran yang lebih baik.

Pengarah Urusannya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, prestasi dana pelaburan strategik negara itu terjejas, pada 2018 oleh beberapa perkembangan membabitkan aspek ekonomi dan sosial di dalam negara juga global.

Katanya, Khazanah mencatat kerugian sebelum cukai sebanyak RM6.27 bilion, pada 2018 berbanding keuntungan sebelum cukai RM2.89 bilion setahun sebelumnya, kerugian pertama sayap pelaburan kerajaan itu sejak 2005.

 

 


Pengarang :