BERITA UTAMASELANGOR

Mangsa ribut terima bantuan awal RM500

OLEH NADIAH ZAMLUS

GOMBAK, 29 MAC: Musibah yang menimpa penduduk Kampung Batu 11 ekoran ribut petang semalam, mendapat perhatian Kerajaan Negeri melalui bantuan awal RM500 kepada mangsa terjejas.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pihaknya juga memberikan keperluan barangan dapur dan kemudahan asas kepada mangsa yang berada di pusat pemindahan, sejak malam tadi.

“Kerajaan Negeri akan menanggung kos pembaikan rumah yang rosak dalam kejadian ini, namun pada waktu ini kita masih lagi menilai jenis kerosakan dialami sama ada sederhana atau rosak teruk.

“Saya juga mengarahkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Subang Jaya dan Majlis Perbandaran Kajang menghantar jentera peralatan skuad pantas mereka ke lokasi kejadian bagi membantu kerja pembersihan yang dilakukan Majlis Perbandaran Selayang,” katanya kepada media.

Sebelum itu, beliau menziarahi dan menghulurkan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pusat khidmat kepada mangsa ribut yang ditempatkan di Dewan Serbaguna JAKOA Batu 12, di sini.

Hadir sama EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud dan Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham.

Pada masa sama, Amirudin turut menarik nafas lega ekoran kesemua agensi terbabit mengambil tindakan pantas, sejak petang semalam.

Katanya, sehingga kini, pakar perubatan, kakitangan jabatan kebajikan dan pakar perunding psikologi turut ditempatkan di pusat pemindahan bagi membantu mangsa yang masih trauma.

Sehingga jam 11 pagi tadi, seramai 70 mangsa dari 17 buah keluarga ditempatkan di pusat pemindahan.

Dalam kejadian ribut petang semalam, seorang lelaki berusia 30-an turut tercedera terkena renjatan elektrik ketika cuba membantu mangsa lain.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof, berkata lima mangsa yang cedera ditempatkan di Hospital Selayang, dua di Hospital Kuala Lumpur dan seorang lagi di Hospital Orang Asli Gombak.


Pengarang :