Projek perumahan
NASIONAL

Pegawai PM sediakan laporan isu PPR Taman Manggis

GEORGE TOWN, 8 MAC: Sekumpulan penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis yang diarahkan mengosongkan unit sewaan mereka baru-baru ini cuba menghalang seorang setiausaha politik kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, daripada meninggalkan lokasi pertemuan mereka malam ini.

Setiausaha politik itu, Abu Bakar Yahya, terpaksa menunggu di dalam keretanya hampir 20 minit selepas kumpulan penduduk itu menghalang laluan kenderaannya keluar dari bangunan Komtar di sini di mana mereka berkumpul sejak semalam.

Bagaimanapun, kehadiran beberapa orang pegawai dan anggota polis ke lokasi itu berjaya meredakan keadaan kecoh itu bagi membolehkan Abu Bakar meneruskan perjalanannya.

Ketua Pemuda BERSATU Pulau Pinang, Shameer Sulaiman turut dikepung sekumpulan penduduk yang tidak berpuas hati dengan penjelasannya juga terpaksa meninggalkan ruang legar bangunan itu dengan bantuan anggota polis.

Sebelum itu, Abu Bakar  tiba di bangunan Komtar itu kira-kira pukul 7.00 malam, semalam untuk bertemu penduduk terlibat bagi mendengar sendiri isu yang dihadapi mereka.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Abu Bakar berkata, beliau membuat pertemuan itu atas arahan Tun Dr Mahathir yang mahukan beliau mendapat gambaran sebenar berhubung isu dihadapi penduduk terbabit serta penduduk di Tanah Wakaf Abdul Cauder, Jalan Mengkuang, di Butterworth.

Beliau juga mendapatkan maklum balas daripada Jabatan Perumahan Negeri dan menurutnya, jabatan itu memang bersedia membantu penduduk di sini mengikut undang-undang dan peraturan sedia ada.

“Saya menyediakan laporan yang akan diberikan kepada Tun (Mahathir).

“Diharap rakyat tidak mudah menerima perkara tidak sahih yang disebarkan pihak yang tidak bertanggung jawab,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kumpulan penduduk yang diarah mengosongkan unit kediaman di PPR Taman Manggis itu kerana mereka melanggar beberapa syarat mendiami kawasan berkenaan.

Antara pelanggaran syarat itu ialah mendiami perumahan itu melebihi lima tahun di mana ada di kalangan mereka yang sudah menetap di PPR itu sehingga 11 tahun.

Katanya, tindakan mengeluarkan notis pengosongan itu terpaksa diambil kerana ingin memberi peluang kepada pihak yang lebih layak untuk mendapatkan kemudahan tersebut.

– BERNAMA


Pengarang :