Selangorkini
Silhouette Of Disappointed Man With His Head In Hands
SELANGOR

Jauhi sindrom penafian, rawat mental sebelum terlambat

OLEH NORHAYATI UMOR

MORIB, 20 APRIL: Penyakit mental yang dijangka menjadi masalah kesihatan kedua terbesar menjejaskan rakyat Malaysia menjelang 2020 selepas jantung, perlu ditangani secara menyeluruh.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, lebih membimbangkan apabila pesakit berada pada tahap sindrom penafian.

Katanya, mereka kononnya kuat untuk menghadapi stress, trauma dan gangguan emosi, namun akhirnya murung dan tewas.

“Orang ramai perlu faham, masalah kesihatan mental ini lain dari sakit mental. Ia akan beri kesan kepada diri sendiri.

“Perkara yang biasa kita buat tidak akan dapat kita lakukan apabila kita stress. Itu perkara yang menjadi awalan kepada perbuatan seperti memukul anak dan sebagainya.

“Kita kena tahu bagaimana untuk bertenang, mengawal perasaan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Karnival 3W di Dataran Morib, di sini.

Sehubungan itu, Siti Mariah menasihatkan mereka yang mengalami gejala awalan itu supaya bertemu pakar dan membuat ujian.

Menurut Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan terkini, setiap tiga orang dalam 10 orang dewasa berusia lebih 16 tahun menderita pelbagai isu kesihatan mental.

Pelbagai persepsi negatif menyebabkan pesakit mental menderita dalam senyap, sering diketepikan masyarakat dan tiada harapan walaupun mendapat sokongan, menerusi pemulihan.

Berbanding lelaki, wanita lebih mudah mengalami gangguan mental berpunca daripada tekanan di tempat kerja, bebanan kewangan dan masalah kekeluargaan seperti isu perkahwinan.


Pengarang :