SELANGOR

Kembang industri halal, kurang kadar pengangguran

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 16 APRIL: Kerajaan Negeri komited mengembangkan industri halal ke peringkat lebih tinggi bagi menampung peluang pekerjaan kepada mahasiswa, sekali gus mengurangkan kadar pengangguran, di Selangor.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan Dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, walaupun kadar pengangguran masih terkawal di negeri itu, namun pihaknya menyasarkan untuk mengurangkannya kepada 2.5 peratus.

Justeru katanya, industri halal menjadi pemangkin yang akan membantu Kerajaan Negeri menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan terbabit.

“Kita mempunyai jaringan dengan negara luar berhubung program halal ini, jadi saya yakin kita boleh kembangkan dan bergerak ke hadapan dalam memastikan pembangunan industri berkenaan.

“Kita harus menjadi negeri yang ke hadapan, baik daripada segi ekonomi kita sememangnya menyumbang besar secara keseluruhan.

“Jadi kalau kita betul-betul serius mahu bergerak ke hadapan daripada segi sumbangan program halal, saya yakin dapat menawarkan prospek kerjaya seterusnya mengurangkan pengangguran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Seminar Kesedaran Halal & Prospek Kerjaya, di Dewan Syarahan 2, Universiti Selangor (UNISEL) kampus Shah Alam, di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman dan Head of Halal Trade Delivery Assurance, Aspire Flagship Sdn Bhd, Omar Ahad.

Selain menawarkan prospek kerjaya, Mohd Khairuddin berkata, bidang halal adalah aspek penting yang perlu dititikberatkan sebagai tanggungjawab kepada masyarakat Islam yang prihatin terhadap logo halal.

Katanya, hal itu memandangkan peniaga Islam masih ketinggalan dalam hab industri halal ekoran 75 peratus pemain industri berkenaan adalah dalam kalangan peniaga bukan Islam.

“Jadi, Kerajaan Negeri minta kita kaji atas sebab apa pemain peniaga Islam masih tertinggal dalam hab industri halal ini.

“Kita juga mahu lihat UNISEL contohnya mengkaji apa yang berlaku dan di mana Kerajaan Negeri boleh membantu untuk menawarkan prospek pekerjaan kepada mahasiswa ini,” katanya.


Pengarang :