PBTSELANGOR

Kerjasama UFS-MBSA tingkat kemahiran usahawan wanita

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 10 APRIL: Unilever Food Solutions (UFS) melalui Chefmanship Akademi (CA) sedia menjalin kolaborasi bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi melengkapkan wanita dengan kemahiran keusahawanan dan melangkah ke arah persekitaran lebih hijau.

Pengarah Urusannya, Nusrat Perveen berkata, CA akan memberi fokus ke Arah Kelestarian Hijau (Go Green) dan memperkuat tahap keupayaan wanita dengan trend terkini industri makanan.

Katanya, tumpuan diberikan sepenuhnya terhadap usaha mendidik pengendali berhubung pengurusan sisa makanan dan pengiraan kos, selain meningkatkan program akademik lebih inovatif.

“Go Green ialah titik permulaan utama yang akan dilancar pada Jun ini melalui kempen digital Tonton & Menang (Watch & Win) di Facebook.

“Kita menjangkakan sekurang-kurangnya 8,000 pengendali makanan akan mengambil bahagian dan menggalak serta memberi manfaat pada pembungkusan makanan biodegrad untuk impak jangka masa panjang.

“Selain itu, Persatuan Usahawan Wanita Malaysia (NAWEM) juga akan bersama MBSA untuk menggalakkan kemahiran keusahawanan wanita dalam kalangan kumpulan isi rumah B40 dengan menyediakan latihan serta dana untuk potensi memulakan perniagaan mereka,” katanya.

Pada masa sama, Nusrat berkata, CA akan meningkatkan kesedaran pengendali makanan berkaitan perkembangan baharu dalam industri selain membantu memahami keperluan peraturan secara mendalam.

“CA menggabungkan maklumat terkini dengan penyelidikan industri supaya dapat menyediakan pengalaman meliputi lebih daripada 100 topik termasuk cara meningkatkan teknik memasak dan membangunkan praktis perniagaan yang sesuai.

“Kita menyasarkan supaya kesihatan orang ramai tidak terjejas apabila makan di luar, malahan penyedia makanan akan membantu dalam memartabatkan kebersihan makanan dan tidak mengutamakan kemudahan serta keuntungan sahaja,” katanya.

Sejak dilancarkan pada 2013, CA menerima penyertaan seramai 400 orang sahaja, namun sehingga kini kira-kira 43,000 pengendali makanan terbabit dalam akademi berkenaan.

Selain MBSA, program CA turut dikendalikan bersama Majlis Bandaraya Alor Setar, Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Perbandaran Kuantan, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang.


Pengarang :