SELANGOR

MBPJ sasar 4,500 sertai Karnival Sukan Remaja Terbuka

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 24 APRIL: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyasarkan seramai 4,500 remaja dari seluruh negara menyertai program Karnival Sukan Remaja Terbuka Petaling Jaya 2019, yang dijadual berlangsung, pada 26 hingga 28 April ini.

Timbalan Datuk Bandarnya, Johary Anuar berkata, ebanyak lapan acara dipertandingkan sepanjang karnival tiga hari itu antaranya bola sepak, bola jaring, acara olahraga, sepak takraw, futsal, badminton, hoki dan tenis.

Katanya, karnival sukan yang memasuki tahun kedua itu turut menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM200,000.

“Selaku penganjur, kami sentiasa berusaha untuk membantu meningkatkan pembangunan sukan remaja bagi mencungkil lebih ramai bakat baharu dalam pelbagai acara sukan, selain meningkatkan jati diri dan keyakinan dalam diri remaja.

“Selain itu, kejohanan seperti ini dapat membantu mengenal pasti keberkesanan program yang dianjurkan MBPJ untuk melahirkan pelapis jaguh atlet pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kenyataan sama, Johary berkata, penyertaan bagi karnival itu dibuka kepada remaja bawah 18 tahun termasuk sekolah dan kelab sukan di sekitar Petaling Jaya.

“Kesemua kejohanan ini menggabungkan semua kejohanan remaja yang selama ini dijalankan secara berasingan oleh MBPJ.

“Usaha ini adalah untuk mengukuhkan lagi perpaduan serta silaturrahim antara kaum dalam kalangan belia,” katanya.

Sebarang maklumat lanjut berhubung karnival itu boleh menghubungi Bahagian Pembangunan Sukan dan Kemudahan Am, Jabatan Pembangunan Kemasyarakatan MBPJ di talian 03-79561216 / 1219 / 1220 atau layari www.mbpj.gov.my atau kunjungi laman sosial Majlis (Facebook: @petalingjayacitycouncil, Twitter & Instagram: &pjcitycouncil)

Berikut adalah kategori, tarikh dan lokasi bagi setiap kejohanan:

26-28 April 2019

Hoki Lelaki & Perempuan B12, B15 & B18 (Berpasukan)
Stadium Hoki Petaling Jaya, Jalan Selangor, PJ Old Town

27 April 2019

Futsal Lelaki B12 &; B17 (Berpasukan)
De’ Samba Futsal (51A/225)

26-28 April 2019

Sepak Takraw Lelaki B15 & B18 (Berpasukan)
Dewan Serbaguna 51A / 227

27 & 28 April 2019

Badminton Lelaki & Perempuan B12, B15, & B18 (Berpasukan)
Kompleks Sukan D’ Kelana, Jalan Stadium, SS 7 / 15

27 & 28 April 2019

Tenis Lelaki & Perempuan B18 (Berpasukan)
Kompleks Sukan Astaka Lorong Utara Kecil, Seksyen 52, Petaling Jaya

27 & 28 April 2019

Bola Jaring Perempuan B12, B15, & B18 (Berpasukan)
Kompleks Sukan Astaka Lorong Utara Kecil, Seksyen 52, Petaling Jaya

27 & 28 April 2019

Bola Sepak Lelaki B12, B14 & B16 (Berpasukan)
Kompleks Sukan Astaka, Lorong Utara Kecil, Seksyen 52, Petaling Jaya dan Stadium MBPJ (Final) Jalan Stadium, SS 7 / 15

28 April 2019

Olahraga (Merentas Desa) B12, B15, B18) (Road Relay) B12, B15, B18
Dataran Boulevard, Jalan Yong Shook Lin, Seksyen 52, Petaling Jaya


Pengarang :