EKONOMI

MIDA lulus projek automotif RM20.5 bilion dari 2012-2018

KUALA LUMPUR, 2 APR: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meluluskan 396 projek industri automotif bernilai RM20.5 bilion bagi 2012 hingga 2018.

Di sebalik pencapaian itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Arham Abdul Rahman berkata, tidak ada ruang untuk mereka berpuas hati memandangkan pada masa kini, industri itu menawarkan lebih banyak terma dalam teknologi maju, merubah permintaan pelanggan, meningkatkan daya saing, meningkatkan pendapatan boleh guna selain pertambahan jenama dan produk.

“Saya menyeru penggiat auto supaya terlibat sepenuhnya dalam setiap inisiatif yang diambil, manakala syarikat yang berkembang maju dalam dunia revolusi baharu ini tidak perlu menjadi yang terbesar.

“Sebaliknya, mereka hanya perlu fleksibel dalam menyesuaikan produk mereka demi memenuhi permintaan pelanggan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MIDA bekerjasama dengan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) untuk menganjurkan Program Penempatan bagi Industri Automotif 2019 hari ini, bertemakan “Local2Global.”

Acara itu yang dihadiri lebih 100 peserta terdiri daripada anggota MAA, termasuk Pengeluar Peralatan Tulen (OEM) dan vendor tempatan membincangkan pelbagai inisiatif antaranya kaedah meningkatkan aktiviti penempatan bagi memanfaatkan pihak berkepentingan, selain menggalakkan lebih banyak pelaburan ke atas industri itu.

Menurut MIDA, setakat 2018, industri automotif Malaysia mempunyai 27 kenderaan OEM yang menghasilkan kereta selain kenderaan beroda dua dan kenderaan komersial.

“Ia menyumbang kira-kira RM40 bilion atau empat peratus terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia dengan tenaga kerja melebihi 600,000 termasuk 53,000 premis selepas pasaran dan 800 pembekal komponen dan peralatan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :