SIMPANG PULAI, 27 April — Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran bergambar bersama orang ramai ketika merasmikan majlis Taklimat Program Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk pelajar dan ibu bapa masyarakat Orang Asli di Pusat Kecemerlangan Pendidikan Orang Asli Perak hari ini. — fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA?
NASIONALPENDIDIKAN

Orang Asal ditawar masuk ILP percuma

IPOH, 27 APR: Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam kalangan masyarakat Orang Asal ditawarkan menyambung pengajian ke Institut Latihan Perindustrian (ILP) secara percuma.

Khabar gembira itu diumumkan Menteri Sumber Manusia M.Kula Segaran sebagai antara usaha untuk menggalakkan lebih ramai belia Orang Asal lepasan SPM mengikuti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi membolehkan mereka memiliki kemahiran seterusnya memperoleh peluang pekerjaan.

Katanya ketika ini, bayaran memasuki ILP bagi pengajian peringkat sijil adalah RM700 merangkumi yuran pengajian di samping kelengkapan lain seperti pakaian seragam dan kasut but.

“Sekarang kita bagi kelonggaran hanya kepada Orang Asal, semua ini (bayaran RM700) akan dibiayai oleh kerajaan 100 peratus.

“Makan, minum percuma serta diberikan elaun sebanyak RM100 sebulan,” katanya katanya kepada pemberita selepas merasmikan taklimat program TVET untuk pelajar dan ibu bapa Masyarakat Orang Asal di Pusat Kecemerlangan Pendidikan Orang Asal Perak di Kampung Kerawat, Simpang Pulai, kira-kira 25 kilometer dari sini.

Selain itu, Kula Segaran berkata kementerian juga akan melonggarkan syarat kemasukan ke ILP bagi belia Orang Asal dengan mengecualikan keperluan lulus Bahasa Melayu, Sejarah, Matematik dan satu subjek lain dalam SPM.

“Kita beri peluang besar kepada mereka, beri kelonggaran asalkan tahu baca dan menulis kita tawarkan kursus yang sesuai kepada mereka,” katanya sambil menyifatkan usaha tersebut sebagai galakan luar biasa kepada Orang Asal yang masih jauh ketinggalan dalam pelbagai aspek.

Terdahulu, dalam ucapannya Kula Segaran berjanji akan memastikan masyarakat Orang Asal turut diberi keutamaan dalam peluang pekerjaan demi mengurangkan kadar kemiskinan.

“Saya janji akan berusaha pastikan Orang Asal dapat kerja kerana mereka ini mustahak sekali dalam negara…99 peratus Orang Asal miskin tidak boleh terima, kita mahu lawan,” katanya.

Dalam majlis itu, Kula Segaran juga menyatakan komitmen untuk membantu mengatasi masalah telekomunikasi di Kampung Kerawat dengan membawa isu tersebut kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

“Saya akan balik ke Putrajaya bagi tahu menteri (Gobind Singh Deo) supaya bagi kelonggaran di sini sekurang kurangnya bina satu stesen telekomunikasi. Ini antara kita boleh buat,” katanya.

— BERNAMA


Pengarang :