SELANGOR

Penyanyi popular bakal gamat SACC Walk Fiesta

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 5 APR: Bukan sekadar menawarkan koleksi vintaj, SACC Walk Fiesta yang mula membuka tirai hari ini lebih menjanjikan keseronokan buat pengunjung apabila bakal menampilkan barisan penyanyi tersohor tanah air dalam acara pentas.

Menerusi karnival julung kali dianjurkan PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) bersama asetnya, SACC Mall & Kompleks PKNS Shah Alam, peminat berpeluang menyaksikan persembahan istimewa daripada Syamel AF, Eleena Haris, Aweera dan Mus May, bermula jam 8 malam esok.

Pengurus Pusat SACC Mall & Kompleks PKNS Shah Alam, Syahril Mohd Rashid berkata, pengunjung yang datang ke SACC Walk dapat mengisi masa lapang dengan menyertai aktiviti bermanfaat dan menarik, selain disajikan dengan hiburan percuma serta peluang berjumpa dengan artis.

“Artis yang hadir membuat persembahan akan beramah mesra dengan pengunjung melalui sesi kuiz semasa mini konsert, manakala Mus May mengambil peluang di acara berkenaan untuk mempromosikan cenderahati kumpulan May seperti t-shirt dan album.

“Kehadiran penyanyi terkenal ini memang akan menghangatkan lagi pentas SACC Walk Fiesta,” katanya dalam kenyataan kepada SelangorKini.

Syahril berkata, PREC dalam usaha berterusan memberdayakan usahawan, selain membuka peluang kepada peniaga barangan antik dan barangan terpakai bagi mempromosikan barangan mereka.

“Ia adalah salah satu inisiatif bagi memberi ruang dan peluang kepada usahawan membantu meningkatkan ekonomi di Selangor seterusnya merangsang peningkatan kadar pelaburan disasarkan Kerajaan Negeri,” katanya.

Terdahulu, SACC Walk Fiesta akan dirasmikan EXCO Tetap Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa Dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail.

Berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad ini, SACC Walk Fiesta yang turut mendapat kerjasama PERDASAMA Negeri Selangor dan TAPAK membawakan pelbagai aktiviti menarik, khusus buat warga Shah Alam meluangkan masa bersama seisi keluarga di hujung minggu.

Menariknya, acara ini turut disertai deretan peniaga kendera saji (food truck) terkenal iaitu TAPAK, selain berpeluang memenangi hadiah lumayan ditawarkan melalui beberapa pertandingan seperti ‘Beyblade Competition’, makan paling pantas, ‘Bull Ride Competition’, ‘Battle of the Buskers’ dan Pertandingan Karaoke.

Selain persembahan artis, karnival bertemakan antik dan klasik itu dimeriahkan dengan #SmartSelangor Mobile Library dari Perbadanan Perpustakaan Awam Shah Alam, aktiviti kanak-kanak seperti ‘giant bubble’, ‘inflatable bouncer’, permainan ‘velocifero’, persembahan badut, seni karikatur , ‘mini petting zoo’ dan pertunjukkan kereta klasik oleh Kelab Pencinta Kereta Mini Malaysia, khas buat penggemar kereta klasik.


Pengarang :