SELANGOR

Premis judi atas talian diserbu, tujuh ditahan

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: Tujuh orang ditahan dalam serbuan polis di sebuah premis yang menjalankan kegiatan judi atas talian di Prima Sri Gombak, dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Samsor Maarof berkata, empat daripada yang ditahan itu adalah penjaga dan pengendali premis termasuk seorang wanita tempatan dan wanita warga Vietnam manakala tiga lagi adalah pelanggan yang leka berjudi.

“Kesemua yang ditahan berusia antara 20 dan 59 tahun,” katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas operasi yang bermula pada pukul 9.50 malam itu.

Beliau berkata hasil serbuan di pusat judi yang baru beroperasi tiga hari itu, polis merampas 10 komputer riba, sembilan telefon bimbit, tiga modem dan wang tunai berjumlah RM650.

“Siasatan awal mendapati mereka memperoleh keuntungan antara RM1,000 dan RM1,200 sehari,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka, Akta Imigresen 1959/1963 dan Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Selangor 1993. -BERNAMA


Pengarang :