SELANGOR

Sarang Ekonomi Desa bakal dilancar pertengahan tahun

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 17 APR: Kerajaan Negeri dijangka bakal melancarkan program Sarang Ekonomi Desa pada pertengahan tahun ini, sebagai pendekatan menghidupkan dan merancakkan aktiviti ekonomi yang berpotensi dikembangkan di kawasan luar bandar.

EXCO Pembangunan Usahawan Serta Pembangunan Luar Bandar, Desa Dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, program itu adalah cetusan idea beliau sendiri yang sudah dirancang untuk dilaksanakan, khususnya di Selangor.

Katanya, program berkenaan juga adalah inisiatif meningkatkan taraf kehidupan rakyat termasuk tahap pendapatan seisi keluarga dengan memanfaatkan segala kelebihan terdapat di kampung masing-masing.

“Penduduk di kawasan kampung akan dibabitkan secara terus dalam program ini yang memberi fokus kepada beberapa aspek selain berpeluang meningkatkan pendapatan melalui aktiviti ekonomi dijalankan melaluinya.

“Pada masa sama, jurang pendapatan penduduk di kawasan luar bandar dan bandar akan cuba dikurangkan,” katanya.

Selari program itu, Rodziah yang juga Ahli Dewan Negeri Batu Tiga berkata, Kerajaan Negeri menyasarkan purata pendapatan seisi rumah di Selangor boleh mencapai kepada RM6,000 sebulan menjelang 2025.

Beliau berkata, pihaknya komited untuk terus membantu golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar.

“Tiada Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang akan dimansuhkan atau dibatalkan, sebaliknya ia hanya penyusunan semula atau pensejajaran semula dibuat bagi memastikan sasaran IPR mencapai objektif dan golongan sasar ditetapkan,” katanya.

 


Pengarang :