SUKANKINI

Alif si pemburu emas pertama Olimpik negara

 

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 30 MEI: Memenangi pingat emas pertama negara dalam temasya sukan terbesar dunia, Sukan Olimpik bukanlah sesuatu yang mustahil bagi pelumba acara pecut basikal negara ini.

Malah, anak jati Klang, Alif Aiman Safuan, 19 tahun, turut membuktikan beliau berada di landasan tepat apabila memenangi tempat kedua dalam acara pecut 200 meter pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2018 ketika usia masih muda.

Sebelum itu, beliau turut meraih pingat perak pada Kejohanan Trek Piala Asia Tenggara di belakang rakan sepasukan, Amar Danial Masri.

Alif Aiman berkata, beliau yakin mampu menghadiahkan pingat emas pertama buat negara pada Sukan Olimpik 2024 nanti sekiranya menggandakan usaha dan kekal fokus.

“Pada masa ini saya fokus untuk memperbaiki diri dalam aspek fizikal dan mental untuk pergi lebih lebih jauh dari sekarang.

“Saya juga sertai pelbagai pertandingan dalam dan luar negara, bukan setakat Sukan Malaysia (SUKMA) sahaja untuk menambah pengalaman dan keyakinan saya bersaing dalam kejohanan lebih besar seperti Sukan Olimpik,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, beliau juga baru sahaja selesai menjalani pembedahan hidung bagi memperbaiki sistem pernafasan.

Ketika menyentuh latihan yang perlu dijalani pada bulan Ramadan, Alif Aiman berkata, beliau terpaksa korbankan masa rehat sebelah malam dengan memulakan latihan pada jam 9.00 malam hingga 2.00 pagi setiap hari.

Selain itu, Alif Aiman juga menjalani latihan kecergasan di gimnasium pada jam 4.00 hingga 6.00 petang sebelum berehat menunggu waktu berbuka puasa.

Beliau juga tidak sabar untuk menyambut kedatangan hari raya aidilfitri bersama keluarga dan sanak saudara di Kampung Sungai Kandis, Klang.

“Alhamdullilah dapat bercuti sehingga raya keempat tetapi saya perlu menjaga pemakanan seperti ditetapkan dalam jadual oleh ahli nutrisi saya, misalnya tak boleh makan lemak tepu seperti keropok atau makanan ringan dan lain-lain,” katanya.


Pengarang :