SELANGOR

Asnaf, OKU gembira terima bantuan MBPJ

OLEH NORHAYATI UMOR dan SHAFIQQUL ALIFF

PETALING JAYA, 10 MEI: “Walaupun hanya nasi dan telur serta kicap, tetapi anak-anak tidak pernah merungut,” demikian luahan seorang ibu kepada sembilan orang anak yang menerima bantuan program Jalinan Kasih Ziarah oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Suaslina Rahim, 36, berkata beliau bersyukur kerana kesemua anaknya memahami kesusahan dialami dan tidak pernah meminta apa barangan sekalipun.

“Saya bersyukur kerana mereka sangat memahami masalah kami. Mereka tidak pernah meminta-minta dan mereka makan apa yang saya hidangkan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program itu bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Dato’ Mohd Sayuthi Bakar, di kediamannya, di sini.

Suaslina yang menampung perbelanjaan harian dengan menjual nasi lemak dan ikan segar yang dipancing sendiri bagaimanapun redha dengan kehidupannya.

Walaupun diuji dengan kesusahan, beliau tetap bersyukur kerana masih mampu menyekolahkan anak-anaknya.

“Tujuh orang anak antara lima hingga 14 tahun masih bersekolah dan memerlukan perbelanjaan tinggi, manakala dua orang lagi berumur empat dan setahun.

“Saya juga membuat simpanan selama tiga bulan kerana ingin membeli pakaian sekolah anak-anak,” katanya dengan nada sebak.

Pada masa sama, beliau berterima kasih kepada MBPJ atas sumbangan tanggungjawab sosial korporat pihak berkuasa tempatan itu.

“Dengan adanya bantuan ini, sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban keluarga saya.

“Memandangkan raya semakin hampir, perbelanjaan duit semakin banyak digunakan untuk membuat persiapan dan sebagainya, jadi alhamdulillah saya bersyukur,” katanya.

Sementara itu, Nazilah Ahmad, 54, bersyukur dengan keprihatinan MBPJ yang hadir ke rumahnya memberikan sumbangan.

“Saya tinggal bersendirian dan menggunakan kerusi roda, apapun sumbangan diterima saya sangat hargainya, terima kasih banyak-banyak,” katanya yang kehilangan kedua-dua belah kaki ekoran kencing manis.

Turut menerima sumbangan itu ialah Jazli Mohd Isa, 23, seorang kelainan upaya yang menjaga tiga orang adiknya berusia 13, 19 dan 22 tahun.


Pengarang :