GLOBAL

Bekas pengerusi Jet Airways dihalang keluar India

NEW DELHI, 26 MEI: Bekas pengerusi syarikat penerbangan Jet Airways yang sedang berdepan masalah kewangan, Naresh Goyal dan isterinya dihalang daripada menaiki penerbangan antarabangsa oleh pihak berkuasa di Mumbai.

Penerbangan Emirates airline EK 507 sedang bersiap sedia untuk berlepas pada Sabtu apabila ia dipanggil balik oleh kawalan trafik udara, demikian lapor media tempatan.

Jet Airways menghentikan operasi penerbangan pada 17 April lalu apabila ia kehabisan tunai bagi memenuhi perbelanjaannya dan membayar hutang bank.

Menurut media India, Enforcement Directorate, agensi risikan ekonomi utama India, dan Kementerian Hal Ehwal Korporat memeriksa tempahan penerbangan dan program kesetiaan frequent-flyer Jet Privilege milik Goyal.

Goyal, yang mengasaskan syarikat penerbangan berusia 25 tahun itu, meletakkan jawatan sebagai pengerusi pada Mac ketika syarikat itu sedang berusaha keras mencari tunai dan pelabur baharu.

Jet Airways menanggung hutang bank, gaji tidak berbayar dan bayaran lain yang perlu dijelaskan berjumlah kira-kira $2 bilion.

-BERNAMA


Pengarang :