SELANGOR

JAIS: Patuhi arahan pensijilan Halal

OLEH NORHAYATI UMOR

SEKINCHAN, 14 MEI: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terus komited menjaga kualiti industri Halal yang terdapat di pasaran masa kini.

Pengarahnya, Dato’ Haris Kasim berkata, Bahagian Pengurusan Halal JAIS sentiasa bekerjasama dengan agensi kerajaan melakukan operasi bersepadu antara agensi.

“Ia termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Veterinar, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Operasi ini bagi memastikan pemegang Sijil Halal mematuhi aspek penilaian yang ditetapkan dan tiada pihak cuba mengambil kesempatan menyalahgunakan Sijil Halal yang dikeluarkan oleh JAKIM dalam cubaan untuk menarik perhatian pengguna atau masyarakat tanpa mematuhi prosedur Halal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sembah ucapan di hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM), Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena Majlis Berbuka Puasa bersama rakyat, penyampaian sumbangan dan perasmian masjid, di Masjid Nurul Falah, Tali Air 7, Kampung Sungai Leman, di sini, semalam.

Haris berkata, penghasilan produk Halal merangkumi proses tertentu bermula daripada peringkat pemilihan sumber, penyediaan bahan, proses pengilangan, pengeluaran, penyimpanan, pemindahan, pengedaran sehingga produk dipasarkan kepada pengguna.

“Oleh itu, masyarakat disarankan untuk mengutamakan dan menggunakan produk, makanan dan perkhidmatan yang mempunyai pensijilan Halal yang sah dalam kehidupan seharian.

“Ini kerana, produk, makanan dan perkhidmatan yang Halal adalah terjamin selamat, suci, bersih dan berkualiti,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya komited bekerjasama dengan agensi berminat mendapatkan Pensijilan Halal untuk membuka pasaran besar di Malaysia termasuk pasaran global.

Terdahulu, JAIS menjalankan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan menyeluruh sepanjang Ramadan ini.

Pemantauan itu dilakukan bagi memastikan tiada individu atau premis makanan mengambil kesempatan dalam mempromosikan hidangan berbuka puasa ‘Buffet Ramadan’ tanpa sijil halal.

Haris berkata, pihaknya memandang serius penyalahgunaan ungkapan atau penandaan halal kerana ia boleh mengelirukan umat Islam.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Pengarang :