Kerajaan lancar dana pengangkutan awam RM500 juta | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

Kerajaan lancar dana pengangkutan awam RM500 juta

KUALA LUMPUR, 2 MEI: Kerajaan hari ini melancarkan Dana Pengangkutan Awam berjumlah RM500 juta dan menawarkan kadar subsidi dua peratus kepada pemohon yang layak mendapatkan dana itu, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, Dana Pengangkutan Awam itu, yang diuruskan oleh Bank Pembangunan Malaysia, bertujuan untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dengan menambah baik lagi prasarana.

“Menerusi dana ini, kita berharap untuk meningkatkan bilangan orang ramai yang menggunakan pengangkutan awam dengan membiayai penambahbaikan sistem,” katanya selepas melancarkan dana tersebut di sini, hari ini.


Lim berkata, pembiayaan itu boleh digunakan untuk membeli kenderaan seperti teksi, bas atau kenderaan pengangkutan awam lain, dan boleh digunakan oleh pengendali, pembekal, pengilang dan pemasang kenderaan pengangkutan awam dan kontraktor, serta pemaju prasarana.

Menurutnya, meskipun pelaburan yang besar dalam perkhidmatan kereta api dan bas, peratusan orang yang menggunakan pengangkutan awam masih rendah dan beliau mengakui masih ada ruang untuk menambah baik sistem pengangkutan awam.

“Berbanding peratusan orang menggunakan pengangkutan awam bagi Kuala Lumpur dengan pasaran pengangkutan awam paling maju, ia hanya berjumlah kira-kira 20 peratus berbanding Jakarta (36 peratus), Bangkok (30 peratus) dan Singapura (67 peratus),” katanya.

Pengerusi Bank Pembangunan Malaysia, Datuk Zaiton Mohd Hassan berkata, subsidi itu yang akan menumpukan kepada cadangan berkaitan perkhidmatan terkini akan diagihkan secepat mungkin.

“Kami melihat kepada pelbagai kemungkinan dan penyedia perkhidmatan e-hailing tidak terkecuali dan saya percaya dana itu akan dapat diagihkan segera kerana jumlahnya tidak besar.

“Dan apa yang paling penting, era kami menyediakan pinjaman yang besar kepada sesebuah syarikat telah berakhir, kini kami mahu lebih terangkum. Subsidi dua peratus itu akan berdasarkan kepada kadar pembiayaan yang diberikan kepada pemohon bagi kes demi kes bergantung kepada prestasi kredit syarikat,” katanya.

Zaiton juga berharap dana itu akan dapat menggalakkan perniagaan di Malaysia, terutamanya pengendali pengangkutan awam, bagi meningkatkan prasarana sedia ada, dengan pembekal, pengeluar dan kontraktor prasarana pengangkutan awam memohonnya.

Menurut laporan Bank Dunia 2015, kos pengangkutan adalah 50 peratus lebih tinggi di Kuala Lumpur berbanding Hong Kong dan Tokyo.

SUMBER: BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next