BERITA UTAMASELANGOR

MAIS peroleh pendapatan RM1.1 bilion pada 2018

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 9 MEI: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperoleh pendapatan RM1.1 bilion melalui penyata kewangan berakhir pada 31 Disember tahun lalu.

Pengerusinya, Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi berkata, pendapatan keseluruhan itu membabitkan wang baitulmal, zakat, wakaf dan syarikat subsidiari di bawah kendalian MAIS.

Katanya, jumlah itu menunjukkan prestasi membanggakan berbanding prestasi tahun sebelumnya.

“Bagi meneruskan kecemerlangan ini, MAIS bersama agensi agama dan anak syarikat sedang melaksanakan penambahbaikan proses serta penyediaan perkhidmatan yang berkualiti.

“Ia termasuk proses perolehan dan tender dalam memastikan pendapatan serta kutipan yang diperoleh dapat diagihkan kepada umat Islam secara telus.

“MAIS juga mahu prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan tanpa berlaku sebarang ketirisan dan salah guna kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sembah ucapan Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, semalam.

Mengulas lanjut, Mohammed Khusrin berkata, beberapa langkah rasionalisasi juga telah dan sedang diambil bagi memastikan belanjawan serta sumber dapat digunakan secara optimum bagi kebajikan umat Islam di Selangor.

Katanya, tahun 2018 adalah pencapaian yang sangat positif untuk MAIS, agensi agama dan anak syarikat di bawahnya.

“Kami juga dalam tindakan penyediaan pelan strategik yang menyeluruh bagi memastikan hala tuju, matlamat dan hasilnya adalah jelas serta bertepatan situasi semasa selaras titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku,” katanya.

 


Pengarang :