BERITA UTAMANASIONAL

MB edar makanan kepada 114 penerima Bank Makanan

 

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 30 MEI : Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengedarkan makanan kepada 114 penerima Bank Makanan di PPR Lembah Subang 1, di sini, hari ini.

Amirudin ketika ditemui berkata, inisiatif edaran program Bank Makanan itu adalah usaha daripada Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah.

Katanya, program itu bertujuan memberi bantuan makanan kepada keluarga berpendapatan tidak melebihi RM1,500 sebulan dan ia adalah hasil kerjasama antara Pejabat Parlimen Petaling Jaya bersama Food Aid Foundation.

“Saya difahamkan Bank Makanan kali ini adalah 2.0 kerana sebelum ini sudah dilaksanakan sebagai projek perintis ‘pilot project’ pada September tahun lalu dan hanya terhad kepada 20 keluarga terpilih di sini.

“Hasil kejayaan projek itu, ia mendorong Pejabat Parlimen Petaling Jaya untuk menambah jumlah penerima kepada 114 keluarga atau seramai 458 orang tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Edaran Makanan Bersama Dato’ Menteri Besar di Bank Makanan Pejabat Parlimen Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan Ahli Dewan Negeri Seri Setia, Halimey Abu Bakar.

Mengulas berkenaan sama ada program Bank Makanan akan diperluaskan ke Selangor, Amirudin berkata, ia bukan satu keperluan memandangkan rakyat perlu dididik berdasarkan konsep Pemberian ke Pemberdayaan (From Gift To Empowerment).

“Ia bukan program berterusan kerana rakyat juga perlu dididik dengan menambahkan kemahiran mereka supaya pada masa sama mereka boleh mencari pendapatan sendiri dan tidak hanya bergantung kepada pemberian.

“Pelbagai program boleh kita berikan kepada mereka, yang penting perubahan sikap itu perlu. Sebagai contoh Kerajaan Negeri turut menyediakan Hijrah dan Ikhtisas bagi membantu golongan ini berdikari.

“Hasrat Kerajaan Negeri juga adalah mahu keluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan,” katanya.

Terdahulu, antara makanan yang diedarkan Amirudin kepada penerima Bank Makanan itu adalah terdiri daripada beras, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Melalui program itu, keluarga berkelayakan akan dibekalkan bahan makanan itu setiap dua minggu sekali.


Pengarang :