SELANGOR

MBSA sedia perkhidmatan 164 RORO secara percuma

SHAH ALAM, 2 MEI: Bagi memudahkan orang ramai membuang sampah pukal dalam persediaan menyambut Aidilfitri, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan perkhidmatan tong ‘Roll On Roll Off’ (RORO) secara percuma.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, sebanyak 164 tong RORO bersaiz 3 tan akan diletakan di sekitar Shah Alam bagi memudahkan orang awam membuang sampah pukal seperti perabut lama dan barangan elektrik.

Katanya, perkhidmatan itu bermula dari 6 Mei hingga 22 Mei dengan meletakkan tong RORO di lokasi sesuai secara berperingkat untuk kemudahan penduduk.

“Tujuan pelaksanaan perkhidmatan tong RORO ini adalah untuk memberikan kemudahan kepada penduduk melaksanakan aktiviti gotong royong secara persendirian di setiap kediaman masing-masing.

“Ia juga bertujuan memberikan didikan kepada warga Shah Alam tentang pengurusan sampah pukal dengan cara yang betul,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kenyataan sama, Shahrin berkata MBSA turut berharap penduduk memberikan kerjasama dengan meletakkan sampah pukal di dalam tong RORO yang disediakan bagi memudahkan pihak kontraktor membuat kutipan selain menjaga kawasan sekitar agar berada dalam keadaan bersih serta selesa.

Sebarang pertanyaan berhubung perkhidmatan tong RORO, sila hubungi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, MBSA di talian 03-5519 6402.


Pengarang :